Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

24 Ogos 2014

Semua Untukmu 1

“OPAH! Penatlah! Banyaknya benda yang nak kena cuci. Kenapa diaorang tak hantar pergi dobi je?” keluh si gadis.

Peluh yang mula mengalir dikesat dengan belakang tapak tangan.

“Cucu Opah ni.. Opah kan bekas pekerja kat sana. Lagipun diaorang kesian tengok opah takde kerja. Tak apalah Lea, Lea kan ada. Boleh Lea tolong Opah, kan?” ujar Nek Limah.

Azzalea memandang ke wajah neneknya. Kasihan. Sudah tua-tua begini masih bekerja. Azzalea merupakan seorang gadis yang tinggal di kawasan kampung bersama neneknya. Sejak ibubapanya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan, dia dibesarkan oleh neneknya, Nek Limah.

Azzalea juga seperti remaja lain yang ingin menghabiskan masa bersama rakan-rakan dan mempunyai impian untuk menyambung pelajaran. Sebenarnya dia telah ditawarkan untuk belajar di sebuah universiti tempatan dengan pembiayaan biasiswa penuh kerajaan. Disebabkan keadaan neneknya yang sudah tua, dia membatalkan hasratnya dan ingin tinggal bersama neneknya.

“Nasib baik ada Lea. Kalau Lea tak ada, tak taulah siapa yang nak tolong Opah,” ujar Azzalea, tersengih.

“Yalah. Nasib baik ada Lea. Lea, nanti tolong hantar cadar yang Opah dah lipat tadi ke chalet ye? Nanti Opah bungkuskan.”

Azzalea memandang ke arah basikalnya yang tersandar di tepi dinding rumahnya. Memang kebiasaannya Azzela yang akan menghantar kembali cadar, tuala dan pakaian yang dihantar oleh pihak chalet kepada neneknya untuk dibasuh. Mendengar perkataan chalet, Azzalea rasa gembira. Gembira kerana dia pasti akan berjumpa dengan seseorang di chalet itu. Dia tersenyum sendiri.

“Lea dah sampai ke mana tu?” suara neneknya mematikan senyuman Azzalea.

“Berangan!”

Azzalea tersengih malu.

“Mana adalah, Opah. Lea teringatkan Sarah. Kalau dia ada, mesti dia selalu temankan Lea pergi hantar cadar,” Azzalea cuba menutup malu. Bimbang jika dapat dikesan oleh neneknya.

“Opah, Lea angkat cadar yang dah kering ya?” cepat-cepat Azzalea bangun dan berjalan menuju ke ampaian.

Neneknya hanya menggeleng kepala melihat tingkah Azzalea. Nenek dulu yang makan garam, ujar Nek Limah dalam hati.



“EMIR, Papa nak Emir belajar selok-belok perniagaan keluarga kita je. Rasanya dah lama sangat Emir enjoy. Apa kata kalau sekarang Emir ambil masa ni, belajar,” Datuk Jamaluddin berkata sambil memandang ke arah anak keduanya itu.

Emir memuncung.

“Alahh Pa.. Emir baru je dua puluh tujuh. Belum sampai tiga puluh lagi. Tak habis lagi zaman remaja,” rungut Emir.

“Kau ni Mir.. cuba dengar cakap papa. Masa mudalah nak kena belajar. Kalau dah tua, nak belajar tak guna. Masa tu satu apa pun tak boleh masuk. Otak dah beku. Memori pun dah tak boleh nak proses sebab dah berkarat,” sampuk Irman, abang sulung Emir.

“Kalau Along je yang sambung bussines Papa tak boleh ke?”

“Emir, papa bukan ada satu chalet je. Papa ada lebih dari lapan buah chalet. Anak-anak Papa ada kamu bertiga je. Adik kamu, Melissa dah ambik bidang lain. Kamu berdua yang ambik bidang Papa. Takkan Papa nak bagi semua kerja pada Along kamu ni? Apa salahnya kalau kamu belajar? Papa bukan nak kamu ambil alih sekarang. Papa nak kamu belajar je dulu. Bila kamu dah bersedia, baru kamu boleh ambik alih. Papa bukan nak paksa kamu kerja sekarang,” terang Datuk Jamaluddin.

Emir menggaru kepala yang tidak gatal.

“Baiklah, Pa. Emir nak kena buat apa?”

“Kalau macam tu, mulai esok Papa nak kamu ikut Papa ke chalet.”

Emir dan juga Irman melangkah keluar dari bilik bacaan bapa mereka.

“Aku ingatkan kenapa papa panggil kita. Rupanya sebab chalet tu. Malasnya,” keluh Emir setelah pintu bilik ditutup. Mereka duduk di ruang tamu. Emir duduk disebelah abangnya. Remote televisyen dicapainya.

“Mir.. kau tak kesian ke tengok Papa? Takkan aku sorang je yang nak kena handle semua? Bagilah muka sikit kat aku. Tolong aku. Lagipun Papa dah berumur, sepatutnya dia kena duduk rumah, berehat. Ni tak, terpaksa hadap benda yang macam-macam.”

“Sepatutnya papa dah ada cucu kan?” Emir cuba mengubah topik. Sebenarnya dia bukan tidak mahu bekerja di chalet papanya, cuma dia masih belum bersedia.

“Tengoklah kau tu, cuba nak tukar topik.”

“Umur kau dah tiga puluh, Along. Aku rasa baik kau kahwin. Nanti kalau dah tua, bila aku nak dapat anak saudara?”

“Kau ni kan, memang suka ubah topik. Suka kenakan aku, kan?”

“Aku gurau jela. Garangnya! Takuttttt…” ejek Emir.

“Aku cakap lain, kau cakap lain. Kau betul ke nak ikut papa esok?” Irman kembali ke topik utama.

Emir hanya tersengih. Sebenarnya dia tidak mahu, tapi sudah terlajak kata. Terpaksalah dia mengikut, kalau tidak, habislah dia.

“Haaa.. kau jangan tak jadi pulak.”

Irman memandang muka adiknya itu. Nasiblah, Emir. Siapa suruh kau pandai-pandai setuju tadi? Terlajak perahu masih boleh diundur, brother!

Emir mengangguk. Nak buat macam mana, nasi dah jadi bubur.



AZZALEA memandang ke langit biru. Nampaknya cuaca hari ini baik. Dia tersenyum sendiri. Basikal yang tersandar di dinding rumah segera diambil dan dituntun ke pintu rumah.

“Hari ni ada sebungkus je. Nanti jangan lupa ambil yang kotor. Kalau banyak sangat boleh mintak Pak Hussin bawakkan,” kata Nek Limah setelah dia meletakkan bungkusan cadar di carry belakang basikal Azzalea.

“Baik Opah!” Azzalea mengangkat tabik seperti seorang tentera.

Neneknya hanya tersenyum melihat telatah cucu kesayangannya.

“Lea pergi dulu ya, Opah,” Azzalea mencium tangan dan pipi neneknya.

“Baik-baik Lea,” pesan Mak Limah.

Risau benar dia apabila setiap kali Azzalea keluar menghantar cadar dan tuala ke chalet. Sudahlah banyak bungkusan yang perlu dibawa. Mujurlah sekarang ini bukan musim cuti. Jika tidak, pasti berbakul-bakul pesanan yang dihantar dari chalet.

Azzalea hanya tersenyum. Cepat-cepat dia naik ke atas basikal dan mengayuh basikal kesayangannya.

Dia melewati jalan menuju ke chalet. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Pemandangan yang indah di kiri dan kanan jalan sering mendamaikan hati Azzalea. Alangkah indahnya hidup ini! Kenangan indah bersama-sama temannya mula terbayang. Ya.. dulu dia dikelilingi rakan-rakan yang sayangkannya. Tapi tidak lagi sekarang.

Sejak ibu bapanya meninggal dalam kemalangan lima tahun lalu, rakan-rakannya tidak mahu lagi berkawan dengannya. Mujurlah ada Sarah yang sering menemaninya. Sarah tidak pernah kisah dengan kata orang tentang Azzalea. Dahulu orang suka pada Azzalea kerana ibu bapa Azzalea kaya, sebelum mereka diisytiharkan muflis. Kerana tidak mahu menanggung malu, mereka membawa Azzalea pulang ke rumah ibu kepada Ilyas, bapa Azzalea.

Biarpun begitu, Azzalea masih lagi gembira dengan hidupnya. Nek Limah menjaganya dengan penuh kasih sayang, menyambung tugas ibu dan bapa Azzalea untuk membesarkan Azzalea. Azzalea juga begitu. Dia terlalu menyayangi Nek Limah, bahkan lebih daripada segalanya.

Tanpa disedari, akhirnya Azzalea tiba di Chalet BaySide, tempat dia harus menghantar barangan chalet yang baru siap dicucinya. Kelihatan beberapa orang lelaki muda berjalan di tepi-tepi jalan di dalam kawasan chalet itu dengan memakai uniform biru.

“Hai, Lea!”

Teguran daripada salah seorang daripada lelaki itu membuatkan Azzalea menekan brek basikalnya. Dia tersenyum ceria.

“Hai!” balas Azzalea senang.

“Banyak kain nak kena hantar? Kalau banyak, boleh Abang Zam tolong. Kitaorang berlima ni tengah free. Boleh ke bawak sorang-sorang?” soal lelaki yang menegur Azzalea sebentar tadi.

Azzalea pantas menggelengkan kepala.

“Tak apa, sikit je. Lea boleh bawak sendiri. Abang-abang semua rehatlah,” ujar Azzalea.

Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengganggu Azam dan rakan-rakannya yang lain berehat. Pasti mereka penat menguruskan chalet, fikirnya.

Azam dan rakan-rakannya tersenyum. Kenal benar mereka dengan si cantik manis Azzalea. Sudah hampir lima tahun dia membantu Nek Limah menghantar serta mengambil pakaian mahupun tuala-tuala dan cadar katil milik Chalet BaySide. Azzalea memang seorang gadis yang baik dan disenangi oleh semua orang.

“Nazhan ada dekat room service. In case Lea nak jumpa dia,” sampuk Idlan pula.

Azzalea dapat merasakan darah merah menyerbu naik ke mukanya. Ada-ada saja Idlan!

“Kau ni, Lan.. malu Lea!” tegur Shahir apabila menyedari Azzalea sudah tunduk merenung ke tanah. Malu agaknya apabila diusik begitu.

Idlan, Shahir, Azam, Juan dan juga Yusri masing-masing ketawa apabila bibir Azzalea sudah pun membentuk muncung itik.

“Dahlah. Lea naik dulu. Mana ada Lea nak jumpa Abang Nazhan,” balas Azzalea, masih muncung.

Azzalea kembali duduk pada seat basikalnya sebelum mengayuh pedal. Malas dia mahu melayan lima sekawan itu. Mereka sangat terkenal dengan sikap mereka yang suka mengusik Azzalea. Namun, mereka berlima jugalah yang menambah rencah dalam resipi kehidupan Azzalea.

Kelima-lima mereka sudah bersahabat sejak sekolah rendah lagi. Mereka masing-masing berusia dua puluh lima tahun. Azam dan Shahir adalah adik-beradik kembar. Nama sebenar mereka ialah Khairil Azam dan Khairul Shahir yang merupakan anak kepada seorang nelayan. Ibu mereka pula membuka kedai menjahit pakaian di pekan. Ahmad Yusri Ad-Din yang lebih selesa di panggil Yusri pula adalah anak kepada salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah sekolah menengah di situ.

Manakala Idlan Khusyairi pula membesar tanpa seorang bapa di sisi. Ibunya mempunyai kedai roti sendiri. Dan juga Juan. Nama sebenarnya bukanlah Juan, sebaliknya Zahiril Annuar. Dia dikenali sebagai Juan dek kerana wajahnya yang kacak membuatkan dia menjadi kegilaan para gadis, terutamanya pekerja BaySide Chalet dan juga gadis-gadis yang menginap di situ. Dan disebabkan itu, dia digelar Don Juan yang dalam kamus urban bermaksud ‘ladies’ killer’. Ya, kerana ketampanannya yang mampu mencairkan hati setiap gadis. Sikapnya pula apabila berdepan dengan perempuan, sama seperti ‘pijak semut pun tak mati’. A sweet talker? Ya, dialah orangnya. Sama seperti Yusri, bapanya merupakan seorang guru.

Sekacak manapun si Don Juan, Azzalea langsung tidak cair apabila melihatnya. Semua gara-gara hati sudah dimiliki oleh Nazhan Hakim. Siapa pula Nazhan Hakim?

Azzalea menurunkan tongkat basikalnya dan menyandarkan basikalnya ke sebatang pokok yang tinggi. Dia kemudiannya mencapai bungkusan kain yang sebesar satu pemeluk itu. Semasa dia membawa bungkusan tadi, rupanya tidak ubah seperti benggali karpet. Nasib badanlah. Namun dia tidak pernah segan dengan kerjanya. Asalkan sumber dia mencari makanan itu datangnya dari rezeki yang halal, cukuplah.

“Hoi, Lea! Kau baru sampai? Kau tahu tak, Mumu cari kau tadi? Katanya kau lambat. Dia nak suruh budak-budak service tukar cadar baru,” sapa Athirah. Biarpun adakalanya mulut Athirah tiada insurans, dia masih seorang gadis yang baik.

Azzalea mengangkat bahu. Mumu memang suka mencari fasal! Siapa Mumu? Siapa lagi kalau bukan Pengurus Bahagian Servis Bilik, Mardiana. Nama Mumu itu lahir dari sikap Mardiana yang suka membebel ataupun nama penuhnya Mulut Murai. Mereka hanya berani memanggil Mardiana sebagai Mumu di belakangnya sahaja. Kalau dia dengar orang memanggilnya dengan nama Mumu, sah kena lempar ke laut. Mumu memang garang!

“Aku baru lepas basuh satu guni tadi, kau tahu tak?” balas Azzalea sambil bercekak pinggang.

Bungkusan cadar dan tuala yang tadinya dipegang diletakkan ke lantai. Hujung kakinya menolak-nolak bungkusan itu.

“Eh, kau ni.. nanti Mumu nampak nanti, dia marah,” tegur Athirah apabila melihat Azzalea menyepak-nyepak bungkusan itu.

“Tak takut,” balas Azzalea sambil menjelirkan lidah.

Baru sahaja mereka berdua ingin masuk ke dalam bilik menempatkan cadar, tuala, sarung bantal milik chalet, Mardiana sudah pun berdiri di belakang mereka dengan bercekak pinggang. Matanya tajam merenung Azzalea dan Athirah.

“Apa awak buat tu, Azzalea?!”

Sergahan Mardiana itu membuatkan Azzalea mengurut dada.

“Cik Mumu! Eh.. silap! Cik Mardiana,” ujar Azzalea tergagap-gagap apabila matanya menangkap bayang Mardiana.

Mardiana masih lagi bercekak pinggang. Matanya mencerlung menikam wajah Azzalea. Mumu? Baru sahaja dia ingin melangkah ke arah dua orang gadis itu, langkahnya terhenti apabila terpandangkan Nazhan yang sudah pun berdiri di sebelah Azzalea.

“Assalamualaikum,” sapa Nazhan.

Azzalea mula merasakan hatinya sudah kembali berbunga seperti tadi. Salam Nazhan dijawab perlahan. Bibir mungilnya sudah mengukir senyum. Alangkah indahnya dunia apabila Nazhan berada di depan mata. Sudahlah kacak, baik hati lagi! Oh, Abang Nazhan, pujaan hatiku! Jantung, janganlah cair dekat sini. Azzalea kembali ke alam nyata apabila Athirah menyiku lengannya.

“Hah? Apa dia?” soalnya pantas.

“Abang Nazhan tanya, dah makan ke?”

Azzalea segera menganggukkan kepala. Eh, bukan! Dia menggeleng pula. Beginilah keadaannya apabila jejaka pujaan sudah berada di depan mata. Jika tidak dikawal, mungkin juga hidung Azzalea sudah berdarah. Azzalea, Azzalea.

Nazhan mengukir senyum sebelum dia berjalan beriringan dengan Azzalea ke kafe yang tidak jauh dari bilik servis itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...