Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

15 Oktober 2015

Kau Irama di Jiwaku [21]

HARI ini adalah hari di mana Adriana dan Adli patut membuat persediaan untuk menempah tempat percutian untuk percutian The Result dan peminat-peminat mereka. Awal-awal pagi lagi Adli sudah menelefonnya untuk mengingatkan tentang hal ini. Adriana sudah pun bersiap. Dia menunggu Adli untuk menjemputnya. Peminat The Result memilih untuk mengadakan percutian di Pulau Pangkor. Seramai tiga puluh orang peminat telah dipilih untuk menyertai percutian itu. Sebenarnya, hanya lima belas orang sahaja. Tetapi, mereka boleh membawa seorang rakan atau saudara mara untuk pergi bersama. Dan, seperti yang dijanjikan Adli dan Adrianalah yang akan menguruskan hal penginapan dan aktiviti.

“Yana, nanti kalau lapar, makan ni dengan Adli,” Datin Maznah menghulurkan bekal yang diisi dalam beg plastik. Bimbangkan anak daranya. Pasti mereka akan pulang lewat. Maklum sajalah, perjalanan yang bakal dilalui mereka agak jauh.

“Apa ni, Ibu?” soal Adriana.

“Buah je, Yana. Jangan lupa makan,” pesan Datin Maznah.

Adriana tersengih-sengih. Ibunya memang seorang baik. Sentiasa mengutamakan anak-anak dan suami tidak kira apa jua keadaan. Untung mereka sekeluarga.

“Yana.. tu! Adli dah sampai.”

Kelihatan Adli keluar dari keretanya.. Dia berjalan memasuki pagar yang terbuka luas. 

“Assalamualaikum, mak cik,” sapa Adli sambil bersalaman dengan Datin Maznah. 

“Waalaikumussalam. Lee dah makan?” soal Datin Maznah ramah.

“Dah, mak cik. Lee makan kat rumah tadi. Nak bawak Yana terus pergi pagi ni. Nak jual kat Siam,” usik Adli. Bibirnya mengukir senyum nakal. 

“Ada hati nak jual aku. Tampar kang, nak?” marah Adriana.

Ibunya cuma menggeleng melihat kelakuan Adriana dan Adli. Adli masih tersenyum.

“Dahlah tu. Pergi cepat, balik pun cepat,” celah Datin Maznah.

“Naik kereta akulah. Kalau naik kereta aku, boleh bukak bumbung. Boleh ambil angin laut,” cadang Adriana.

Adli mengangguk. Mereka bersalaman dengan Datin Maznah. Adli meletakkan keretanya ke dalam garaj rumah Adriana. Adli menyambut kunci kereta Adriana dan memulakan pemanduan. Suasana mula diterjah sepi. Tiada kata yang terkeluar di saat perjalanan baru dimulakan. Masing-masing diam. Rasa kekok mula mengambil tempat.

“Dah pilih chalet ke?” tanya Adriana. Dia cuba menyembunyi rasa canggung yang sudah mula menapak. Dia ingin menghapuskan tembok yang baru tercipta.

“Dah. Ada tiga tempat. Tapi, kena tengok keadaan tempat tu dulu. Tak payah pergi Pangkor. Kita pergi Lumut je, tengok katalog,” jawab Adli. Dia masih fokus dengan pemanduannya.

“Apa nama chalet yang korang pilih tu?” Adriana semakin ingin tahu.

“Kitorang pilih Seagull, Pangkor Laut Resort.. lagi satu, apa eh?” Adli cuba mengingat. Mulutnya terkumat-kamit seolah-olah sedang membaca mentera. “Ohh! Lagi satu, Pangkor Village,” jawab Adli tergelak kecil.

“Maknanya, kena pilih salah satulah kan?” soal Adriana.

“Ha’ah. Kena pilih salah satulah. Tak tahu mana satu nak pilih,” balas Adli. 

“Jauhlah nampaknya perjalanan kita. Sini ke Lumut,” Adriana menyandarkan kepalanya pada tempat duduknya. 

Punat radio ditekan. Adriana mencari-cari CD yang tersimpan kemas. Satu persatu CD itu dibeleknya. Adli di sebelah hanya diam memerhati. CD yang tertulis ‘hits’ dikeluarkan daripada sarungnya. Dimasukkan pada tempat pemain CD di radio itu. Butang start ditekan.Lagu Di Sampingmu nyanyian kumpulan The Divine Master memenuhi segenap ruang kereta itu. Adriana masih lagi bersandar. Adli tersenyum. Dia ikut menyanyi lagu tersebut, membuatkan Adriana tidak jadi melelapkan mata. Dia terasa seperti Adli menyanyikan lagu itu buat dirinya. Kata-kata Adrian kembali bermain di telinganya. Entah-entah Adli. Takkanlah!




SETELAH hampir tiga jam, mereka sampai di Lumut. 

“Nak parking dekat mana?” soal Adli sambil memerhati di sekeliling. 

“Kat depan tu,” balas Adriana sambil menunjukkan tempat dimana dipenuhi dengan deretan kedai yang nampak kemas. 

Kawasan di sekitar Bandar Lumut memang menarik perhatian para pengunjung. Banyak tempat yang membolehkan mereka mengambil gambar. Setelah meletakkan kereta di tempat letak kereta yang betul, mereka melangkah keluar dari kereta itu.

“Kat mana eh, tempat ejen pelancongan ni?” Adli berjalan beriringan dengan Adriana. 

Kedai-kedai yang menjual barangan runcit, pakaian dan hasil laut yang telah dikeringkan memenuhi sisi bangunan setingkat itu. Mereka masuk ke dalam sebuah kedai yang menjual barangan untuk dijadikan cenderamata. Kelihatan seorang lelaki sedang sibuk mengelap cenderamata yang diperbuat daripada kayu dengan berhati-hati.

“Encik, saya nak tanya. Kat mana tempat ejen pelancongan kat sini?” soal Adli ramah.

“Oh.. itu. Encik keluar daripada kedai ni, encik masuk ke kanan. Nanti encik nampak kain rentang. Dekat situlah,” jawab lelaki itu.

Setelah mengucapkan terima kasih, Adli dan Adriana menghayun langkah ke sebuah lot yang agak besar di dalam bangunan itu. Terdapat beberapa buah pejabat kecil untuk ejen-ejen pelancongan di situ.

“Assalamualaikum,” sapa satu suara dari belakang.

Adli dan Adriana menjawab salam itu serentak.

“Boleh saya bantu?” soal lelaki yang berusia itu, mungkin usianya dalam empat puluhan.

“Kami nak cari ejen pelancongan. Nak tempah tempat untuk percutian ke Pulau Pangkor,” jawab Adli.

“Saya pun salah seorang ejen kat sini. Apa kata kita masuk berbincang dulu? Nanti kalau encik berminat dengan pakej yang kami tawarkan, encik boleh buat tempahan terus. Nama pak cik, Hassan. Panggil je Pak Cik Hassan,” ujar lelaki itu. 

Pintu pejabat itu dibuka setelah mereka bersalaman. Mereka masuk. 

“Duduklah encik, cik,” pelawa lelaki itu. “Encik dengan cik nak buat vacation untuk apa? Honeymoon?” soal Pak Cik Hassan lagi. 

Adriana dan Adli tersedak. Masing-masing malu untuk bertentang mata.

“Bukan. Sebenarnya, nak buat percutian, ala hari keluarga,” Adli bersuara memberitahu perkara sebenar. 

Pak Cik Hassan mengangguk-angguk sambil tersenyum. Sebuah fail dikeluarkan dari rak fail di atas mejanya. Fail itu diselak berhati-hati. Adli dan Adriana diam memerhati.

“Maaflah ya. Pak cik ingat kamu ni dah kahwin. Berapa orang?” tanya Pak Cik Hassan.

“Ehh.. Tak apa pak cik. Hmm.. Dalam empat puluh lima orang. Actually, belum confirm lagi, tapi takpe. Semuanya nanti under empat puluh lima orang,” jawab Adriana.

“Kalau boleh, boleh tak berikan pak cik butiran terperinci pasal percutian ni?”

“Macam ni, kami nak buat aktiviti air, outdoor, indoor. Kami kalau boleh nak guna chalet ke, or resort. Hotel pun boleh,” Adli menerangkan.

“Sebenarnya pak cik, kami dah ada shortlist untuk tempat-tempat ni. Seagull, Pangkor Laut Resort dengan Pangkor Village. Kami nak percutian selama empat hari. Pergi hari Sabtu, mungkin dalam tengah hari, sampai hari Selasa pagi minggu depannya. Tapi, kami nak buat research dululah. Antara tiga tempat ni, mana satu yang selesa, ada semua facilities, ada kemudahan nak buat aktiviti laut and so on. Pasal harga, tak ada masalah. Kami nakkan tempat yang ada privasi, ada kenderaan untuk disewa,” tambah Adriana panjang lebar. 

“Sebenarnya ada banyak tempat yang ada kemudahan tu semua. Nak main ping pong ke, snuker, bola tampar, semua boleh. Kalau nak berkayak, naik banana boat, snorkelling, pusing-pusing pulau naik bot ataupun nak menyewa kenderaan pun boleh. Semua ada dekat sana. Tapi, pak cik rasa kalau nak bilik untuk orang ramai, Pangkor Island Beach Resort, sesuai. Banyak bilik. Ada Lanai Room di Pacific Wing, Ocean Wing dan Garden Wing. Boleh pilih mana-mana, semua boleh muatkan ramai orang,” ujar Pak Cik Hassan. 

Adli dan Adriana berfikir-fikir. 

“Boleh kami tengok katalog?” soal Adli. 

Pak Cik Hassan menghulurkan dua keping brochure yang berbeza-beza. Mereka membaca segala yang tertulis pada brochure itu. Sesekali mereka berbincang. 

“Macam nilah, pak cik. Kami nak booking lima belas buah bilik di Ocean Wing, dengan tujuh kat Lanai Pacific Wing. Boleh?” tanya Adli setelah dia mendapat kata putus, setelah berbincang dengan Adriana.

“Boleh, boleh. Tak ada masalah. Tapi, pak cik kena tengok dulu bila ada free. Pak cik akan cuba cari time untuk bulan ni jugak. Tunggu sekejap, ya,”

Pak Cik Hassan keluar daripada pejabatnya untuk menghubungi seseorang. Adli masih dengan katalog-katalog di tangan. 

“Lanai room ni, cantik,” puji Adriana. “Baiknya korang.”

“Sebab.. kalau tak ada family, fans, kitorang takkan ada on top macam hari ni. Ni sikit je. Kalau ada rezeki lebih nanti, bawak ke luar negara pulak. In shaa Allah.”

Adriana tersenyum. Baik betul The Result ni. Akhirnya persetujuan dibuat. Setelah menetapkan tarikh percutian mereka, Adriana mengajak Adli berjalan-jalan di sekitar bandar Lumut. Nasib mereka baik. Percutian itu akan diadakan pada minggu hadapan, memandangkan mereka ingin mengadakan percutian secepat mungkin. 

Bandar Lumut hanyalah sebuah bandar kecil, tetapi menarik. Terdapat pelbagai kedai dan bangunan yang dibina untuk kemudahan penduduk di situ. Kedai-kedai dan bangunan di situ terdiri daripada bank, restoran, kedai menjual pakaian serta peralatan seharian, kedai menjual cenderamata dan hotel. Mereka berjalan dan terus berjalan. Tanpa disedari, mereka sampai di dataran depan Hotel Putra. Terdapat ramai pengunjung yang duduk di situ. Dataran itu menghadap hamparan laut yang biru.

“Lamanya tak dapat tengok laut,” Adli bersuara sambil mendepangkan kedua-dua tangannya.

“Aku pun sama. Lama tak dapat bau laut,” Adriana tersenyum.

Adli menoleh ke arah Adriana. Dia tergelak kecil. Wajah Adriana ditenung lama. Bibir Adriana yang merah itu masih mengukir senyum.

“Yana.. nak pergi Teluk Batik tak?” Adli mula mengukir senyuman.

Baru sahaja Adriana ingin membuka mulut, beberapa orang gadis datang menghampiri mereka.

“Awak ni, Lee The Result. Betul tak?” gadis yang berbaju kemeja merah bertanya.

“Ya, saya,” balas Adli sambil tersenyum. Menyesal tak pakai sunglasses tadi dengan snow cap, Adli mula berkira-kira dalam hati.

“Kan aku dah kata. Memang dia,” gadis yang bertudung putih pula menyampuk. “Boleh tak kalau kami nak tangkap gambar dengan awak?” soalnya teruja.

Adli tersenyum. Wajah manis Adriana dipandang. Adriana mengangkat kening, kemudian dia mengangguk. Dia menyembunyikan senyuman. Macam ni rupanya kalau dah jadi artis. Adli mula mengambil tempat berdekatan dengan gadis-gadis itu. 

“Cik, boleh tolong snapkan?” seorang gadis datang menghampiri Adriana. Dia menghulurkan kamera digitalnya kepada Adriana. Tanpa rasa kekok, Adriana menyambut kamera itu.

Ready.. three, four!” sekeping gambar berjaya diambil. Disaat Adriana ingin menghulurkan kembali kamera itu, gadis-gadis tadi memaksanya mengambil beberapa keping gambar lagi. 

Adriana mengambil beberapa keping gambar, seperti yang dipinta tanpa sebarang rungutan. Orang ramai yang mula sedar akan kehadiran jejaka kacak bernama Adli Syafiq itu terus menghampiri Adli untuk mengambil gambarnya. Walaupun tidak dapat bergambar dengan Adli, mereka tetap mengambil gambarnya. Adli tidak henti-henti tersenyum. Apabila ada yang menghulurkan tangan, disambutnya juga.

“Lagilah cik!” gadis yang berkasut tumit tinggi pula mengarahkan Adriana untuk menjadi jurugambar mereka.

Adli mula rasa tidak senang. Dihampirinya Adriana, dan kamera tadi dihulurkan kembali kepada salah seorang gadis-gadis tersebut.

“Alaa.. Lee. Tangkaplah gambar dengan kitorang lagi. One by one pulak,” gadis berbaju merah itu cuba merayu.

“Saya bukan tak nak, tapi.. saya datang dengan this lady. Tapi, fans saya suruh dia jadi photographer pulak. Tak bestlah macam tu,” Adli menyuarakan rasa di hati. Kesian Yana, desis hatinya.

“Tak apalah Adli. Aku okay je,” celah Adriana.

In case kalau nak ambil gambar dengan saya lagi, this lady mesti ada sekali. Boleh?” Adli memaut bahu Adriana. 

Adriana membulatkan biji matanya. Terkejut dengan perbuatan Adli. Takkan la lakonan depan Razin tu bersambung pulak kat sini? Adriana menelan air liur. Peminat-peminat Adli menjeling Adriana geram. Akhirnya, mereka terpaksa akur dengan permintaan Adli. Adli tersenyum bangga. Biarlah aku kena gosip lagi. Aku tak kisah. Asalkan perempuan yang digosipkan tu, Adriana Izdihar. Senyum di bibir Adli kian mekar.

Kau Irama di Jiwaku [20]

INKIGAYO dah start! Cepatlah!” jeritan Rayyan sudah cukup membuatkan empat pemuda itu berlari ke ruang rehat studio mereka.

Mereka pulang lewat malam kerana ingin menghabiskan lagu ciptaan mereka, untuk comeback stage yang akan datang. Mereka juga ingin mengadakan temuduga untuk menjadi pengurus mereka. Mereka letih. Mereka sendirilah yang menjadi pengurus, penyanyi, komposer dan penerbit. Sebab itu seorang pengurus diperlukan. Seperti biasa, jika mereka pulang lewat malam pada hujung minggu, sudah pasti mereka akan menonton Inkigayo, iaitu rancangan hiburan dari Korea. Setiap minggu, pasti akan ada lagu-lagu yang dipertandingkan. 

“Kan bagus kalau kita ada buat rancangan macam ni. Mesti lagi best” suara Danial bertingkah dengan suara emcee di kaca televisyen. “Lawa IU ni,” tokok Danial lagi.

“Bukan lawa, tu comel,” Alif membetulkan Danial.

Pelbagai lagu yang dipertandingkan, termasuklah lagu dari kumpulan kegemaran mereka, iaitu Girls’ Generation, FT Island dan Super Junior. Mereka bersorak keriangan apabila tiba giliran ketiga-tiga kumpulan itu, seolah-olah mereka ada di sana. Masing-masing ketawa dengan sikap mereka yang seperti kanak-kanak.

“Korang rasa, bila agaknya nak buat audition tu? Tak larat la aku. Naik gila dibuatnya,” Adam bertanya serius, setelah tamat sahaja menonton rancangan Inkigayo. Televisyen sengaja dibiarkan terbuka, tetapi volumenya terlebih dahulu diperlahankan.

“Aku tak kisah. Bila-bila pun boleh. Tapi lagi bagus kalau kita buat masa kita cuti,” jawab Adli.

“Aku pun rasa macam tu jugak,” Adam bersetuju dengan Adli. “Tapi.. tak ke menyusahkan nanti? Nak pergi bercuti lagi.”

“Macam ni.. apa kata kita sebarkan kat internet? Kat facebook kita ke, twitter kita. Bagilah syarat sikit. Takde la ramai sangat. Ataupun, kita boleh je interview pemenang-pemenang yang kita nak bawak pergi holiday tu masa kita kat sana. Kalau diorang minatlah,” usul Danial. Mereka mengangguk.

“Tapi, nak select pemenang pulak macam mana?” tanya Adam. Dia langsung tidak berfikir tentang percutian itu. Dia sibuk dengan tugasnya sebagai ketua kumpulan dan pengurus sementara The Result.

“Aku rasa, kita boleh jual CD kita, kita simpan nombor siri CD tu. Macam Danny cakap tadi, kita boleh umumkan kat facebook or twitter. Siapa yang beli CD tu, ada peluang nak menang pergi bercuti dengan kita. Kiranya, macam lucky drawlah. Dalam masa yang sama, kita boleh tambahkan income. Lagipun, mesti ramai yang beli,” Adli pula yang memberi cadangan.

“Ha’ah! Bergeliga otak kau, Lee! Aku pun tak terfikir. Aku ingat nak buat contest je. Tapi, kat internet mesti berlambak info. Senang je nak cari. Cara kau ni bagus. Aku rasa, mesti ramai yang beli. Hari tu, aku ada update status kat facebook. Kalau kita nak ajak fans bercuti, siapa yang nak ikut? Memang ramai yang nak,” tambah Danial.

“Habis tu, macam mana nak buat audition tu? Kalau yang dapat pergi holiday tu semua under age, dah kerja, macam mana?” soal Adam. “Aku blur. Banyak sangat fikir.”

“Tak apa. Kitorang faham. Kalau bab audition, kita guna facebooklah. Tetapkan venue, bila and masa. Tapi, kenalah tetapkan syarat. Bukan semua orang boleh apply. Contohnya, umur mesti dua puluh tahun ke atas, warganegara Malaysia, mesti kenal member kita and something yang macam tu,” usul Alif.

“Betul, betul. Masa audition tu, kita sediakan soalan yang mencabar sikit. Tapi, soalan asas kena ada. Apa kerja pengurus, kenapa mesti ada pengurus, and so on. Takkanlah nak ambil orang yang langsung tak tahu pasal kerja,” Rayyan pula mencelah. Dia tahu apa yang difikirkan abang kembarnya. 

Adam mengangguk. 

“Nasib baik aku ada member macam korang. Korang selalu keluar dengan idea-idea yang brilliant. Untung aku,” seloroh Adam. 

“Kalau macam tu, aku dengan Danny settlekan pasal CD tu, serial numbers semua. Nak kena inform dekat kedai-kedai yang jual CD kita. Alif dengan Rayyan, korang kena buatlah soalan-soalan yang berkaitan dengan interview tu nanti. Boleh tak korang settlekan nak buat syarat kat facebook tu? Lepas tu buatlah penapisan. Boleh?” soal Adam. Mereka berdua mengangguk.

“Habis tu, aku macam mana?” Adli sahaja yang masih belum mendapat tugas.

“Kau.. apa kata kalau kau ajak Yana buat tempahan dekat mana-mana. Nak buat ala-ala family day. Buat barbeque ke, sukaneka ke, buatlah apa-apa aktiviti untuk kita bercuti tu nanti. Tempah chalet or hotel. Resort pun okay. Pasal budget, korang tak payah risau. Duit tu semua cukup. Kalau tak cukup, pandailah aku topupkan. Aku nak kau settle part tu,” Adam memberikan tugasan sebagai seorang ketua yang berkaliber.

“Boleh. Tapi korang nak suasana yang macam mana? Maksud aku, nak ke gunung ke, pantai ke, pulau ke, or water theme park?” tanya Adli lagi. Tangannya mencatatkan sesuatu pada buku notanya.

“Korang rasa?” Adam bertanya kepada mereka yang lain.

“Aku tak kisah. Tapi, disebabkan kita nak bawak fans ke sana, kita buat sistem undian. Alif dengan Rayyan yang control pasal facebook, korang buatlah poll. Tanya soalan. Mintak diorang undi,” cadang Danial. Dia memang hebat bab-bab percutian ini.

“Boleh, tak ada hal,” jawab Rayyan.

“Aku ada plan tempat-tempat nak pergi. Kalau nak pergi pulau, kita pilih Pulau Pangkor. Kalau nak ke pantai, kita pergi Pantai Chenang. Kalau nak ke gunung, Taman Negara Pahang, boleh kot. Kalau theme park, Genting and kalau nak pergi water theme park, kita pergi Bukit Merah. So, kalau kitorang nak buat poll, korang tulis terus nama tempat-tempat ni,” sampuk Adam.

Okay, alright. Hal tu, insyaAllah boleh settle,” Alif bersuara.

“Kalau macam tu, settle semuanya. Lee, kau kenalah tetapkan pengangkutan. Kena sewa jugak. Kalau naik kereta ke, kena settlekan,” Adam memberi kata putus.

“Aku tak ada masalah. Tapi, poll question tu tak boleh lama-lama. Aku nak tetapkan berapa orang nak pergi, nak tempah tu semua kena tempah cepat. Nanti orang tak nak proses pulak,” ujar Adli. 

Yang lain bersetuju dengan kata-kata Adli.




ADRIANA membiarkan angin malam menampar-nampar lembut wajahnya. Dia berasa tenang. Bunyi air yang mengalir dari air terjun kecil buatan di halaman rumah mengurangkan kesepian malam itu. Adriana berbalut sweater. Malam itu begitu sejuk. Kelihatan jiran tetangga di hadapan dan di sebelah rumahnya juga sedang menikmati angin malam. Dia mendongak ke langit. Tidak banyak bintang, mungkin malam ini hujan akan turun. 

“Haa.. Yana! Berangan!” tegur Adrian. Entah sejak bila dia sudah berada di situ. Dia duduk di kerusi yang bertentangan dengan adiknya.

“Berangan apa. Tengah ambil angin,” balas Adriana. Dia menoleh ke dalam rumah. Dapat dilihat ibu dan bapanya sedang menonton televisyen. Pintu yang diperbuat daripada cermin itu sengaja diselakkan langsirnya ke tepi. 

“Ni, abang nak tanya Yana sikit, boleh?” soal Adrian serius. Adriana tergelak. “Kenapa pulak gelak? Abang seriuslah” Adrian bertanya kehairanan.

“Jarang tengok abang serius macam ni. Ha.. tanya jelah. Tak pernah-pernah nak mintak permission, tiba-tiba mintak permission ni. Pelik.”

“Tak ada. Abang tengok, Yana asyik termenung je lepas balik dari rumah Laila. Yana kenapa?” tanya Adrian lagi.

“Takde apalah. Yana okay je. Memang biasa la Yana duduk kat sini sorang-sorang. Time-time macam ni,” Adriana cuba berlagak tenang.

“Tak, abang tak rasa Yana okay.”

Adriana kaku. Ingin sahaja dia menangis. Kemesraan di antara Razin dan Melissa tadi benar-benar mengguris hatinya. Sewaktu diperkenalkan sebagai bakal tunang Melissa, Razin diam. Dia tidak menidakkan, mengiakan pun tidak. Kalau dahulu, apabila Melissa mula mencari point untuk bergaduh dengannya, pasti akan dihalang oleh Razin. Razin bahkan pernah berjanji, tiada apa yang mungkin menyakiti hati Adriana. Kerana dia akan setia mempertahankan Adriana. Tetapi kini? Janji-janji Razin hilang bersama ketika dia pergi meninggalkan Adriana dahulu.

“Yana..” suara Adrian membuatkan Adriana sebak. Kalaulah Razin memahaminya seperti Adrian, Datin Maznah, Datuk Abdul Aziz dan Adli.. pasti dia tidak akan sesedih ini. Matanya mula berkaca. “See? Mesti ada something wrong. Siapa lelaki tadi?”

“Razin,” ada getaran dalam suaranya. 

“Razin tu.. siapa?” soal Adrian. Dari riak wajahnya, Adrian dapat meneka sesuatu. 

“Razin. Dia kawan Yana masa Yana kat universiti dulu,” tutur Adriana, cuba mengawal perasaannya. 

“Lebih dari seorang kawan. Betul tak?” Adrian bertanya terus. Adriana yang asyik tunduk mengangkat wajah. Muka abangnya dipandang. “Muka tu dah bagi jawapan kat Abang, dik.”

Adriana mula bercerita. Siapa Razin, mengapa dia boleh jatuh cinta dengan Razin dan bagaimana Razin dan dia terpisah. Adriana menahan air matanya daripada berjuraian di pipi mulusnya.

“Yana.. kadang-kadang hidup kita ni penuh dugaan. Mungkin selama ni Yana tak pernah ingat macam mana rasanya kehilangan orang yang Yana sayang. Dia tinggalkan Yana, he’s still alive. Abang? Abang tak mungkin dapat jumpa arwah Kak Mira lagi. Yana beruntung. Sekurang-kurangnya, Yana boleh jumpa dengan Razin tu lagi,” luah Adrian kesal. Kalau tidak kerananya, pasti Mira masih berada di sisinya.

Bayangan peristiwa lebih kurang tujuh tahun lalu menggamit kembali dia ke masa lalu. Gadis lembut yang bernama Nurul Dhamirah binti Dahalan telah mencuri hatinya. Sejak di bangku sekolah lagi, hatinya dicuri oleh Dhamirah. Dhamirah yang sopan sentiasa membuatkan dia tertarik. Baginya, Dhamirah adalah gadis yang paling sesuai buat dirinya. Dhamirah bijak, lincah dan tidak sombong. Wajah Dhamirah sentiasa membuatkan dia semakin rancak mengejar Dhamirah. 

Dhamirah anak yatim piatu yang tinggal di rumah anak-anak yatim. Walaupun begitu, dia tidak kisah. Ibu bapanya juga sukakan Dhamirah. Tamat sahaja persekolahan, dia mendapat tawaran menyambung pelajaran ke United Kingdom. Dhamirah pula bakal meneruskan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam bidang Sains di Tanjung Malim, Perak. Setelah sekian lama menyulam cinta, dia dan Dhamirah bakal diijabkabulkan. Ketika itu, Adrian masih belum meneruskan pelajaran. Dia hanya mengambil kursus persediaan di bawah tajaan MARA. Biarlah berjauhan, asalkan mereka tidak berpisah. Sewaktu Adrian dan Dhamirah keluar untuk membeli barangan untuk dijadikan hantaran, kereta yang dipandu Dhamirah dirempuh oleh sebuah lori. 

Peristiwa itu benar-benar membuatkan dia hilang arah. Dia duduk di kerusi roda untuk beberapa ketika dan Adrian juga dijangka akan lumpuh seumur hidup. Nasib baiklah keluarganya tidak putus-putus memberi sokongan. Rakan-rakan rapat juga sentiasa mendorongnya untuk bangkit kembali. Dia tahu, apa pun yang terjadi, Dhamirah tidak akan kembali lagi seperti dulu. Sehingga ke hari ini, dia masih belum dapat menerima mana-mana wanita untuk menggantikan tempat Dhamirah. 

Adriana menatap wajah abangnya. Kasihan Adrian. Masih belum lepas dari rasa bersalah.

“Yana okey je. Ada Abang, Abah, Ibu. Yana rasa tu dah cukup. Kawan-kawan Yana pun selalu ada. Abang janganlah risaukan Yana. Abang kena risaukan diri abang,” Adriana mengubah hala perbincangan mereka.

Adrian mengeluh perlahan. Bagaimana dia mahu melupakan Dhamirah? Masih adakah gadis selembut Dhamirah? Sopan seperti Dhamirah? Tiada. Dhamirah hanya satu.

“Abang nak tahu, ada tak perempuan macam Kak Mira kat dalam dunia ni. Mungkin ada, tapi mana nak cari yang macam dia?”

“Abang tak pernah nak cari. Kalau abang bagi peluang, mesti abang jumpa someone. Yana tak suruh abang lupakan Kak Mira. Bagi peluang pada diri abang,” Adriana memberikan semangat pada abangnya. 

Adrian tunduk.

“Bila ada orang yang cuba bukak hati abang, why not abang terima?” Adrian memandang wajah adiknya. “Yana tu. Kalau ada orang yang dekat, tak payah susah-susah cari lain. Abang tahu, walaupun dia macam tu, dia diam, dia tak tunjuk perasaan dia pada Yana, dia memang sayangkan Yana. You should know that,” giliran Adrian pula yang menasihati adiknya.

“Siapa? Razin?” Adriana termangu-mangu.

“Jangan halakan seluruh mata, jiwa Yana pada Razin. Sampaikan Yana dah tak boleh nampak apa yang abang maksudkan.”

Adriana diam. Apa maksud abang Adrian? Baru sahaja dia ingin bertanya, Adrian sudah pun masuk ke dalam rumah. Bukan Razin? Kalau bukan dia, siapa lagi? Kalau orang yang dekat.. Adli? Adriana tersenyum sumbing. Tak mungkin Adli!

Di Sampingmu [11]

ADELIA QAISARA membelek wajah di cermin. Dia mengenakan sepasang baju kurung moden berwarna merah jambu yang diperbuat daripada kain lace. Wajahnya disolek nipis oleh jurusolek. Dia tidak tahu apa yang berlaku di luar biliknya. Hatinya gementar menanti detik bakal ibu mertuanya menyarungkan cincin di jarinya. Pandangan dilemparkan ke arah barangan hantaran yang tersusun kemas di atas katil. Pihak lelaki menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihak perempuan. 

Adelia Qaisara ditemani oleh Annur, Hannah, Nadhira dan Dhia. Seketika kemudian, terdengar bacaan doa daripada ustaz yang dijemput khas hari itu. Adelia Qaisara menadah tangan, memohon keberkatan daripada Allah. Dia tidak henti-henti berdoa dalam hati agar segalanya berjalan lancar. Nampaknya, bacaan doa itu tadi menandakan yang dia selamat menjadi tunangan Adam Farhan.

“Akak, nak sarung cincin dah ni,” ujar Dhia setelah bacaan doa tamat. Dia masih leka dengan kameranya. Setiap sudut bilik itu kini dipenuhi dengan tetamu perempuan dan jurugambar.

Datin Hafizah tersenyum melihat bakal menantunya yang nampak berseri. Adelia Qaisara hanya tersenyum kecil, lalu tunduk. Sebentuk cincin emas putih disarungkan ke jari manis Adelia Qaisara. Dia bersalaman dengan Datin Hafizah. Tidak lama kemudian, mereka keluar dari bilik. 

Adam Farhan yang baru sahaja masuk ke dalam rumah terpaku apabila melihat kecantikan Adelia Qaisara. Bola matanya segera dilarikan di saat matanya bertembung dengan mata Adelia Qaisara. Dia bersalaman dengan para tetamu dan duduk di pelamin kecil yang tersedia. Hari itu dia hanya mengenakan sehelai kemeja lengan pendek berwarna merah jambu dan berseluar putih. Adelia Qaisara mengambil tempat di sebelah Adam Farhan untuk sesi fotografi.




USAI sahaja majlis pertunangan, semua tetamu pulang ke rumah. Yang tinggal hanya keluarga Adam Farhan dan keluarga terdekat Adelia Qaisara.

“Tak sangka Sara dah nak kahwin,” ujar Puan Shamsiah, ibu saudara Adelia Qaisara.

Adelia Qaisara yang baru sahaja menukar pakaian hanya tersenyum tawar. Dia tidak tahu bagaimana hendak beriaksi.

Puan Shamsiah selalu sahaja membandingkan Adelia Qaisara dengan anak-anaknya. Kononnya, anak-anak dia belajar di luar negara. Masing-masing ada cita-cita yang tinggi. Tidak hairanlah sekiranya mereka berkahwin lewat. Baginya, harta adalah segala-galanya. Adelia Qaisara? Bijak, tetapi tidak memikirkan masa depan. Puan Shamsiah tersenyum sinis.

“Baguslah kahwin awal. Kita dulu pun kahwin masa umur belasan tahun. Sara dah dua puluh,” balas suaminya, Encik Hussin.

“Tak adalah. Saya pun seronok juga. Kacak tunang si Sara ni. Untung badan. Shakira, nanti cari la bakal suami macam Adam ni. Handsome, kereta besar, kaya,” tambah Puan Shamsiah. Ada nada menyindir dalam kata-katanya.

Adelia Qaisara dan yang lain terpempan.

“Maksud Mak Ngah?” tanya Adelia Qaisara.

“Nanti, bila dah kahwin, tak payah kerja. Duduk rumah je, goyang kaki. Haa.. tadah je tangan dapat duit,” jawabnya sambil menjeling Adelia Qaisara.

“Maafkan Sara. Tapi, kalau Mak Ngah rasa Sara kahwin dengan Adam sebab duit, Mak Su silap. Sara sendiri pun dah ada duit. Buat apa Sara nak mintak dengan orang lain?” Adelia Qaisara mula naik angin. Nada suaranya juga cuba dikawal.

“Kak Siah, kalau akak datang sini semata-mata nak menghina anak kami, lebih baik akak balik. Saya bukan menghalau. Tapi hari ni majlis untuk orang rasa gembira, bukan majlis bermasam-muka,” sampuk Tan Sri Salleh.

Puan Shamsiah menjeling.

“Jom, bang! Kita balik!” ajak Puan Shamsiah. Anaknya Suzila hanya mematung. “Hey, Zila! Mari balik!” jeritnya lagi.

“Pak Su, Mak Su, Sara.. Zila balik dulu, ye. Maafkan mak Zila, dia memang macam tu,” ujar Suzila sambil bersalaman dengan ahli keluarga itu.

“Saya bukanlah nak masuk campur. Tak lama lagi, berbesanlah kita. Kenapa dengan Kak Shamsiah tu?” tanya Dato’ Hisyam setelah Suzila hilang di balik pintu.

“Entahlah, Hisyam. Dia memang macam tu. Anak dialah yang paling baik,” jawab Puan Fatimah.

“Mama, Papa, Pak Cik, Mak Cik, boleh tak kalau Han nak bercakap sekejap dengan Adelia?” celah Adam Farhan. Dia ingin bercakap dengan Adelia Qaisara sebentar.

“Pergilah,” jawab Tan Sri Salleh.

Semua yang berada di situ menala pandangan pada mereka berdua. Mereka tersenyum sesama sendiri. Bagai pinang dibelah dua, itu sahaja yang paling sesuai bagi menggambarkan keserasian mereka.

“Adelia.. okey ke?” tanya Adam Farhan.

Mereka duduk di kerusi taman. Petang itu ditemani dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Yang kelihatan, pekerja-pekerja katering sedang mengemas peralatan mereka. Ada yang sedang duduk, ada yang memantau para pekerja bawahan dan ada yang sedang bertungkus-lumus mengemas. Mujurlah makanan habis hari itu. Tan Sri Salleh keluar dari rumah dan menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada mereka. Bayaran kerja mereka barangkali.

“Dari sebelum kita bertunang, awak asyik tanya perkara yang sama. Saya okey je. Janganlah risau,” jawabnya kembali. Matanya jatuh pada sebentuk cincin emas putih yang tersarung pada jari manis tangan kirinya.

Actually, saya takut kalau Adelia tak setuju. Legalah saya sekarang. In a month, you’ll be my wife. Thank you,” ucap lelaki itu, jujur.

“Saya pun berterima kasih sebab pilih saya jadi isteri awak. Still, I’m sorry. Kita tak buat majlis resepsi sampai lepas saya habis belajar.”

“Yang itu, saya tak kisah. Kalau ikutkan saya, saya nak buat majlis akad nikah je. Family yang nak buat majlis tu. Ikutkan jelah.”

Adelia Qaisara mencari wajah lelaki itu. Kemudian dia tunduk.

“Saya pun nak buat akad nikah je. Tapi, bagus jugak ada buat resepsi. Kenalah jemput kawan-kawan saya dekat kampus tu.”

Adam Farhan tersenyum.

“Lusa Adelia balik Ipoh, kan? Kebetulan saya ada projek kat Ipoh. If tak keberatan, saya boleh hantar Adelia dengan kawan-kawan balik sana,” ujar lelaki itu lagi.

“Tak menyusahkan ke? Tapi, kenalah tanya parents saya dulu,” jawab Adelia Qaisara.

“Err.. saya dah cakap dengan pak cik dengan mak cik. They said I can send you home. But still, kena tanya Adelialah,” balas Adam Fahan.

“Kalau parents saya kata okey, okeylah.”

Ameer Farhan tersenyum gembira. Ternyata tidak sukar mendekati gadis itu. Adelia Qaisara memberi tindakbalas positif. Dia akan terus mencuba untuk mencuri gadis itu. Menanti sebulan lagi seolah-olah dia harus menunggu lagi bertahun lamanya.

“Lagi satu, Mama nak Adelia tinggal dekat rumah kami, dekat Ipoh. Rumah tu parents saya beli last year. Better duduk rumah tu. Jiran sebelah tu orang Melayu. Lagi selamat. Kalau Adelia nak ke kelas atau pun nak keluar, Adelia boleh mintak tolong mak cik tu jaga rumah. Lagi pun, rumah tu selesa. Walaupun setingkat, rasanya okeylah untuk student macam Adelia dengan kawan-kawan,” jelas Adam Farhan itu.

“Kena bincang dengan housemates dululah. Tapi, err.. sewa.. kira macam mana?” tanya Adelia Qaisara.

“Takkanlah bakal menantu sendiri pun Mama nak suruh sewa. Free je. Duduklah sana sampai habis belajar,” tambah Adam Farhan.

“Kalau macam tu, nanti saya tanya kawan-kawan dulu. Seganlah. Tinggal rumah tu, tapi tak bayar apa-apa.”

“Lahh.. nak segan kenapa? Bayarannya, Adelia kenalah belajar sungguh-sungguh. Boleh jadi engineer macam saya. Lagi satu, if rasa nak pindah rumah, just tell me. I’ll be in Ipoh for two weeks. Lepas tu saya balik KL semula. Rasanya lepas tu kita jumpa time akad nikah. That’s all.”

Adelia Qaisara tersenyum. Baiknya Adam Farhan dan keluarganya. Adelia Qaisara tunduk. Matanya dilarikan pada kenderaan yang membawa katering bergerak meninggalkan kawasan banglo dua tingkat itu.

Di Sampingmu [10]

“KAU biar betul, Han. Tiba-tiba je nak kahwin. Dahlah dalam masa yang singkat. Jangan cakap kau kahwin atas pilihan keluarga,” Saiful benar-benar terkejut.

“Taklah. Pilihan aku sendiri. Aku berkenan dengan dia. Tu yang aku tak nak tunggu lama-lama,” jawabnya tenang. Bibirnya yang merah mengukirkan senyuman buat sahabatnya itu.

“Siapa dia? Aku kenal ke?”

“Tak. Kau tak kenal dia. Dia anak kawan baik Papa aku. Aku jumpa dia dua minggu lepas. Sekali tengok, terus jatuh hati,” terang Adam Farhan.

“Baru kenal dua minggu? Kiranya cinta pandang pertamalah ni? Tak sangka betul aku. Kau yang workaholic ni nak kahwin,” Saiful masih belum boleh percaya.

“Aku seriuslah. Kau ni.. bila aku tak ada girlfriend, tak fikir pasal kahwin, kau bising-bising. Suruh aku cari girlfriendlah, suruh kenal dengan kawan-kawan kaulah. Macam-macam. Ni, bila aku nak kahwin, kau pulak tak percaya. Pelik betullah kau ni,” Adam Farhan menyatakan rasa tidak puas hati.

“Bukan macam tu. Aku pelik jelah. Siapa dia? Berminat betul kau dengan dia. Kenalkanlah dengan bakal abang ipar dia ni. Tak pun, jadi nombor dua.”

“Banyak cakap. Bini kau ada kat rumah! Jangan main gila,” jawab Adam Farhan tergelak. 

“Minggu ni dia balik. Nanti aku kenalkan.”

Saiful mengangguk. Ingin benar dia melihat bakal isteri Adam Farhan. Bagaimana seorang lelaki yang telah mengunci hatinya buat lima tahun lamanya boleh berubah dengan hanya beberapa kali berjumpa. Pasti gadis itu cantik. Mungkin juga gadis itu seperti Diana.

“Han.. aku nak tanya sikit, boleh?” tanya Saiful.

“Hmm.. tanyalah,” Adam Farhan yang tadinya mula menyambung kerja, terhenti kembali.

“Bakal isteri kau ni.. ada ciri-ciri macam Farah Diana ke? Eh, kau janganlah marah,” katanya apabila melihat Adam Farhan merenung ke arahnya.

“Dia dengan Diana orang yang berbeza. Sikit pun tak ada persamaan. Dia cantik, bijak, dia sopan. Paling penting, dia hormat family aku and pandai masak. Kalau Diana, dia different. Boyish. Nama dia Adelia. Adelia Qaisara binti Ahmad Aminuddin,” Ameer Farhan menerangkan perkara sebenar.

“Aku ingatkan ada persamaan. Yelah, tiba-tiba kau ajak dia kahwin. Padahal baru kenal. Dia belajar lagi eh?”

“Ha’ah. Baru dua puluh tahun umur dia. Muda lagi. Dia belajar kat Ipoh. Dekat Politeknik Ungku Omar.”

“Eh, itukan tempat kita buat renovation tu? Eh, senanglah macam tu. Bila kau ada dekat Ipoh, boleh kau jenguk bini kau. Mudanya!”

Adam Farhan mengangguk.

“Paling ironi, dialah budak yang tertumpahkan air kat baju aku that day.”

Saiful ternganga. Malang sekali dia belum pernah melihat wajah gadis itu.




ADELIA QAISARA memasukkan telefon bimbit ke dalam beg. Sebentar saja lagi, dia akan pulang ke Kuala Lumpur. Menunggu bakal tunangnya menjemput dia dan rakan-rakannya. Hannah, Annur dan Nadhira telah mendapat kebenaran daripada keluarga masing-masing untuk menghabiskan cuti bersama Adelia Qaisara. Dan yang paling penting sekali, mereka akan menghadiri majlis pertunangan Adelia Qaisara dengan Adam Farhan.

“Aku pulak yang nervous,” ujar Annur, sambil menyelak langsir tingkap. Panjang sahaja lehernya, mencari bayang lelaki itu.

Handsome tak?” tanya Hannah.

“Tak. Dah tua. Rambut dah gugur. Kulit pun dah ada yang berkedut,” jawab Adelia Qaisara selamba.

“Kau ni biar betul. Tak percayalah aku,” balas Hannah kembali.

“Asyik tanya je. Malas nak jawab,” Adelia Qaisara menggelongsor duduk di sofa.

“Eh, future husband kau naik kereta apa?” tanya Nadhira tiba-tiba.

“Entah, tak pasti. Kenapa?”

“Tu.. ada BMW warna biru berhenti kat depan. Tengoklah kejap,” panggil Annur.




Adelia Qaisara pantas berdiri. Dia berjalan ke muka pintu. Seorang lelaki tinggi lampai keluar dari kereta tersebut. Kaca mata hitam setia melekat pada batang hidungnya. Hari ini dia nampak segak dengan jaket hitam yang dizip separuh, menampakkan sehelai t-shirt putih tanpa kolar di dalamnya. Dia mengenakan sehelai seluar jeans yang juga bewarna hitam dengan sepasang sneakers putih. Dia juga memakai bangle kulit berwarna hitam di pergelangan tangan kanannya. Dia ingin mengeluarkan telefon bimbit, tetapi terhenti di saat terpandangkan wajah Adelia Qaisara. Dia melambai seraya tersenyum.

“Jom. Dia dah sampai,” ajak Adelia Qaisara. Beg di meja dicapai, lalu disangkutkan ke bahu. Beg yang sederhana besar dijinjing dengan tangan kiri.

“Itu ke? Sebijik macam mamat Korea. Handsomenya!” Hannah cuba mengawal nada suaranya. Bimbang didengari Adam Farhan.

“Jangan banyak cakap. Jom,” ajaknya lagi, tergelak.

Nadhira yang terakhir keluar mengunci pintu rumah dan pagar. Adam Farhan membuka boot kereta dan mengambil beg dari tangan Adelia Qaisara. Setelah semua beg sudah berada dalam boot, kereta itu mula meninggalkan kawasan perumahan itu.

“Mak Adelia ada call?” soal Adam Farhan, cuba membunuh kesunyian yang baru tercipta.

“Ada. Mak kata esok kena pergi tempah baju. Lepas tu, beli hantaran. Majlis tu weekend depan, kan?” jawab Adelia Qaisara sopan.

“Ha’ah. Esok pagi saya ambil Adelia. Nak beli cincin nikah sekali. Mama saya dengan mak Adelia cakap nak biar kita sendiri yang pilih,” ujar lelaki itu. Sesekali, matanya dilarikan pada wajah yang tenang itu.

Adelia Qaisara mengangguk. Saat ini, dia sudah mula berasa gementar. Dia berharap agar sinar bahagia itu miliknya. Adam Farhan merupakan seorang lelaki yang baik.




“EH, Sara. Best tak nak kahwin ni?” tanya Nadhira.

“Entahlah. Aku nervous. Tak terfikir nak kahwin awal. Tapi, jodoh semua tu di tangan Allah. Aku redha je. Dia pun baik,” jawab Adelia Qaisara.

Malam itu, mereka tidur di bilik tetamu. Ada sebuah katil bersaiz king. Cukup untuk memuatkan keempat-empat mereka.

“Tapi kan.. handsome habis bakal husband kau tu. Kalau aku, tak ada aku nak fikir-fikir. Aku terima je,” celah Hannah.

“Hisyyy! Hannah ni! Tak habis-habis dengan handsome. Aku bagitau Fadlin nanti, baru tahu,” marah Annur.

Hannah hanya ketawa.

“Aku memuji kesempurnaan Maha Pencipta!” tukasnya, masih ketawa.

“Dah, dah. Tidur. Esok nak bangun awal. Berjalan sehari,” tegur Adelia Qaisara.



“ANNUR! Hannah! Dhira!” jerit Adelia Qaisara. Dia sendirian di padang itu, tanpa mereka. Air mata Adelia Qaisara mengalir. Ketika dia berlari-lari, dia tersadung batu, lalu terjatuh.

“Awak tak apa-apa?” tanya satu suara.

Di depannya berdiri seorang lelaki. Adelia Qaisara yang masih tunduk tidak mampu mengangkat kepala. Dia menangis di saat terlihatkan darah yang mengalir dari lutut dan tapak tangannya. Lelaki itu tunduk di hadapan Adelia Qaisara dan tersenyum.

Adelia Qaisara terjaga. Jam menunjukkan pukul dua pagi. Ya Allah, itukah tandanya dia memang jodohku? Adelia Qaisara bangun menuju ke bilik air. Kini, dia sudah yakin dengan pilihannya.




PAGI itu, mereka ke Mid Valley. Rakan-rakan Adelia Qaisara turut serta. Membantu memilih barangan untuk dijadikan hantaran. Mereka sudah selesai dengan urusan pakaian. Tema pertunangan mereka pink dan putih.

“Kami nak tiga bentuk cincin. Dua bentuk emas putih untuk perempuan, satu bentuk untuk lelaki daripada perak. Kalau boleh, cincin perak tu nak design yang lebih kurang sama dengan salah satu daripada cincin white gold tu. Boleh tak?” tanya Adam Farhan sewaktu mereka singgah di kedai emas yang mereka singgah.

“Mau bertunang ka kahwin?” tanya lelaki yang berbangsa Cina itu.

“Dua-dua. Kalau cincin bertunang, saya prefer cincin belah rotanlah,” jawab Adelia Qaisara.

Lelaki itu mengangguk. Dia membuka peti kacanya dan membelek-belek cincin yang sesuai. Dia memanggil pembantunya dan bercakap sesuatu. Pembantunya masuk ke dalam sebuah bilik dan keluar dengan tiga buah kotak.

“Ini untuk kahwin punya cincin,” sebentuk cincin emas putih yang bertatahkan tiga biji berlian itu diberikan kepada Adam Farhan. 

Ada sebiji berlian yang besar sedikit berada pada bahagian tengah cincin. 

“Yang ini, pun cantik juga.” Kini, sebentuk cincin dengan sebiji berlian yang bersinar juga sudah berada pada tapak tangan Adam Farhan.

Boss, saya nak tengok yang itu,” Adam Farhan menunjukkan sebentuk cincin yang ada tiga biji berlian di atasnya. “Adelia suka yang mana?” tanyanya.

“Tiga-tiga ni cantik. Kejap, test,” jawabnya. Satu demi satu cincin dicubanya. “Kalau yang ini, over sangat tak?” soalnya. Cincin yang pertama tadi tersarung kemas di jari manisnya. Dia suka akan rekaan yang itu.

“Kalau yang ini, ada tak cincin perak yang design lebih kurang dengan this one?” Adam Farhan menunjukkan cincin di jari Adelia Qaisara.

Lelaki yang mengenakan tanda nama Leong itu menghulurkan sebentuk cincin yang mempunyai tiga biji berlian di tengah-tengahnya. Adam Farhan meneliti cincin itu sebentar. Dia mengangguk.

Lastly, saya nak tengok cincin ni,” Adam Farhan menunjukkan sebentuk cincin emas putih berbatu nilam. Cincin itu nampak ringkas dengan batu nilam warna merah jambu tersusun kemas, memenuhi bahagian atas cincin itu. Nampak lebih ringan dan kecil. Disuakan pada Adelia Qaisara.

“Alaa..cincin belah rotan pun dah okay,” kata gadis itu lagi.

Just take it. Saya suka design ni. Cuba dulu, okey?”

Cantik! Cincin berbatu merah jambu itu nampak menyerlah apabila disarung pada jari manisnya.

Okay, saya ambil tiga-tiga,” Adam Farhan memberi kata putus.

Setelah membayar harga cincin, mereka masuk ke dalam pasaraya. Mencari-cari barang hantaran.

“Biasanya orang beli toiletteries. Beli perfume, persalinan, makanan, sejadah and barang-barang lain,” beritahu Hannah.

“Ha’ah la. Aku lupa kau dah bertunang. Jom.”

Mereka berjalan, mencari barang-barang lain untuk hari pertunangan Adelia Qaisara dan Adam Farhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...