Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

03 Mei 2015

Hadirnya Cinta Terindah 20

“LEPASKAN aku!” jerit Zara apabila tubuhnya ditarik dua orang lelaki ke tepi jalan.

Kedua-dua lelaki yang bertopeng itu hanya ketawa berdekah-dekah. Seorang berbadan gempal manakala seorang lagi berbadan sasa.

“Jeritlah lagi! Takkan ada yang dengar!” ujar lelaki yang berbadan gempal itu.

Ya, dia benar. Pada waktu pagi begini, tidak ramai orang melalui kawasan ini. Selama ini, Zara menggunakan jalan pintas ini namun tidak pernah diganggu sesiapa. Zara meronta-ronta ingin melepaskan diri daripada pegangan kejap dua lelaki tersebut.

Lelaki yang berbadan sasa itu mendekatkan wajahnya pada Zara sebelum jarinya yang kasar mengelus-ngelus pipi Zara.

“Kau cantik. Betul kata boss aku. Patutlah ramai orang nak,” ujarnya sambil jari-jemarinya menari di pipi Zara.

Zara menjerit sekali lagi sebelum tubuhnya ditolak ke tanah. Dia dapat merasakan tubuhnya sedikit sengal apabila belakang badannya mendarat di permukaan tanah yang tidak rata. Lopak-lopak air di tanah membuatkan baju putih yang dipakainya basah lencun dan kotor.

“Lepaskan aku! Lepaskan!” jerit Zara sekali lagi. Air matanya mengalir jua. Rasa takut mula menguasai diri.

Jeritan Zara yang kuat membuatkan lelaki yang bertubuh sasa itu menekup mulut Zara dengan tangan kirinya.

“Diam!” marahnya.

Lelaki yang berbadan gempal itu pula mengeluarkan sebilah pisau lipat dari kocek seluarnya. Rakannya melepaskan tangannya daripada terus menekup mulut Zara. Dia berdiri dengan Zara berada di antara kedua-dua belah kakinya. Baru sahaja dia ingin membuka tali pinggangnya, Zara terlebih dahulu menendang bahagian alat sulit lelaki itu. Dia sudah tidak punya cara lain. Hanya itu sahaja caranya untuk dia melepaskan diri.

“Hoi!” jerit rakan lelaki itu apabila Zara sudah bangun dari tempat dia ditolak sebelum membuka langkah seribu.

“Kau berdiri dekat sini buat apa? Kejarlah!” jerit lelaki yang berbadan sasa tersebut, menahan sakit. Rakannya yang gempal itu mula mengejar Zara. Zara berlari sepantas mungkin untuk keluar daripada semak itu.

“Tolong!” jeritnya dengan air mata yang berlinangan.

Zara berhenti apabila lelaki yang berbadan sasa tadi sudah berada di hadapannya. Zara mengundur sebelum tubuhnya melanggar rakan kepada penjenayah tersebut. Zara kaku apabila tangannya seolah-olah ditoreh sesuatu. Darah merah yang pekat mengalir daripda lengannya. Bau darah membuatkan Zara mula berasa pening.
 
“Larilah lagi! Lari!” jerit lelaki gempal itu sebelum sekali lagi tubuh Zara ditolak.

“Tolong lepaskan saya,” rayu Zara.

Kawasan yang biasanya ramai orang itu begitu sunyi sepi. Selalunya ramai orang yang lalu-lalang di situ.

“Sayanglah kalau kami lepaskan kau. Kau cantik. Rugilah kalau tak dapat ‘makan’.”

Kedua-dua mereka datang mendekati Zara. Zara mengesot ke belakang.

“Tolong! Tolong! Tolong!”

“Zara? Zara! Kenapa ni?”

Zara membuka mata sebelum dapat menangkap bayang wajah Rasya berada di hadapannya.

“Akak!” jerit Zara sebelum mendakap tubuh kakaknya.

Rasya dapat merasakan Zara menggigil. Peluh sudah pun merenik di dahi adiknya.

“Kenapa ni?” soal Rasya apabila pelukan sudah dileraikan.

Zara menggeleng laju.

Nightmare,” balasnya pendek.

Rasya mengerut dahi.

“Itulah. Next time baca doa sebelum tidur,” ujar Rasya sebelum bergerak semula ke work stationnya yang berada di salah satu bucu bilik tidur mereka.

Zara memegang dadanya. Jantungnya berdegup kencang. Lengan baju diselak ke paras siku. Garisan sepanjang lebih kurang lapan sentimeter ditenung sebelum disentuh dengan hujung jari. Setitis air mata jatuh membasahi pipinya.

Lengan bajunya segera diturunkan sebelum dia bergerak ke bilik air. Dia ingin mengambil wudhu’ dan menunaikan solat sunat tahajjud. Semoga hatinya tenang semula.




PAGI itu, selesai bersarapan, Zara duduk di taman mini rumahnya. Fikiran menerawang jauh ke mana. Mengapa mimpi ngeri itu kembali menerjah? Di saat dia sudah mula melupakan semua itu. Mengapa?

Parut yang berada di lengannya ditenung. Andai dia mampu membuang parut itu, akankah mimpi ngeri itu hilang serta-merta? Rasa marah menguasai hatinya. Tapak tangan kirinya menggosok parut itu sekuat mungkin, seolah-olah dia cuba memadamkannya. Namun dia tahu semua itu tidak mampu terjadi, melainkan dia melakukan pembedahan. Tetapi.. dia tidak mahu melakukan apa-apa pembedahan. Dia ingin bayangan itu berlalu dengan sendirinya, apabila tiba masanya.

Selama ini, langsung tiada siapa yang mengetahui akan hal itu. Termasuklah keluarganya. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu mengenainya. Cuma.. ada seseorang sahaja yang mengetahuinya. Zara merenung permukaan meja yang diperbuat daripada marmar itu. Sihatkah dia?




IMRAN berjalan menuruni anak tangga sebelum duduk di ruang tamu. Kelihatan ibu bapanya serta Julia berada di luar, sibuk berbual-bual. Imran menyandarkan kepalanya ke sofa sebelum menekan butan ‘on’ pada badan alat kawalan jauh televisyen. Dia meraup wajah sambil melihat ke arah jam yang berada di dinding. Jam sebelas setengah pagi. Semalam dia hanya sampai di rumah dalam jam lima setengah. Setelah menunaikan solat Subuh, barulah dia dapat melelapkan mata.

Tiada langsung siaran yang menarik minatnya. Dia menggeliat sebelum merebahkan tubuhnya, berbaring di sofa itu. Hari ini dia harus datang ke hospital jam sembilan malam nanti. Mujurlah ramai lagi doktor-doktor yang akan datang. Memandangkan pekerja di bahagian ortopedik tidak seramai pekerja di bahagian kanser, shif kerja mereka tidak tetap. Namun, dia sukakan kerjanya sebagai salah seorang doktor pakar dan bedah ortopedik. Dia belum pernah merungut apabila dia terpaksa berada di hospital dalam jangka masa yang lain.

“Im?”

Imran mengurut dada. Terkejut apabila namanya dipanggil.

“Terkejut Im, Mama. Bila masa Mama masuk ni?” soalnya sebelum duduk seperti tadi.

“Baru je kejap ni. Im bukak TV, tapi TV yang tengok Im,” balas Datin Marlia.

Imran tersengih.

“Im masuk kerja pukul berapa?”

“Pukul sepuluh, Ma. Balik tak tahu lagi pukul berapa. Takut tak ada orang nak buat round up,” balasnya.

Sebagai seorang bekas pakar bedah neurologi, Datin Marlia benar-benar memahami akan tugas Imran. Dia dan juga suaminya, Dato’ Musa sama-sama pakar bedah neurologi. Dan kerjaya itulah yang menemukan mereka berdua. Menjadi seorang doktor, Imran harus bersedia dengan emergency call daripada hospital. Jika dia harus datang pada seawal jam dua atau tiga pagi, dia harus berada di sana. Ramai pesakit yang bertarung nyawa hanya untuk meneruskan kehidupan. Rasa mengantuk dan penat tidak setanding dengan kesakitan yang dihadapi pesakit.

“Tak apalah. Sekarang pun Mama tengok Im dah boleh coupe sikit-sikit dengan kerja Im. Sibuk macam mana pun, Im kena jaga solat,” pesan Datin Marlia.

Imran mengangguk sambil tersenyum kecil.

“Mama nak masak dulu,” ujar Datin Marlia sebelum bangun dan bergerak ke dapur.

Imran berbaring semula. iPad di atas meja kopi dicapai sebelum dia meneroka seluruh sudut yang berada di dalamnya.




RYAN termenung di dalam keretanya. Sudah lebih setengah jam dia duduk di dalam keretanya sambil termenung. Kanak-kanak sedang sibuk bermain papan gelongsor, buaian dan bermacam lagi permainan yang berada di taman itu.

Zara.. membayangkan sahaja wajah si pemilik nama Zara Sofea itu, ada senyuman yang menghiasi bibirnya. Walaupun cara pemakaian Zara berubah seratus peratus, namun Zara tetap Zara yang dulu. Dingin dan sejuk seperti ketulan ais di Antartika. Duduk berdekatan dengannya sahaja sudah terasa aura dingin itu.

Ryan membuka pintu kereta sebelum berjalan ke arah taman permainan yang berada di seberang jalan. Kelihatan ada tiga orang cikgu perempuan di tadika itu sedang asyik melayan kanak-kanak. Ryan datang mendekati.

“Oh, Encik Ryan! Baru sampai?” soal salah seorang daripada guru tadika yang bertudung hijau.

Ryan tersenyum.

“Baru je sampai. Hakim belum balik lagi, kan?” soal Ryan sambil memanjangkan leher mencari kelibat anak kecil yang bernama Luqman Hakim itu.

“Sekejap, ya. Saya cari,” ujar wanita itu.

Ryan hanya berdiri sambil bercekak pinggang. Kelihatan kanak-kanak di situ sedang ketawa ceria sambil bermain bermacam jenis permainan. Beginilah keadaan Tadika Ihsan apabila petang menjelma. Kanak-kanak di tadika itu akan dibawa keluar dari tadika dan bermain di taman permainan sementara menunggu ibu bapa pulang dari kerja untuk mengambil anak-anak mereka.

Senyum Ryan mekar apabila kelihatan seorang kanak-kanak berkulit putih kemerahan berlari-lari mendapatkannya. Beg yang dipegang gurunya bertukar tangan.

“Akim balik dulu, cikgu!” ujar kanak-kanak itu riang dalam pelatnya sambil bersalam dan mencium tangan gurunya.

“Saya balik dulu, cikgu,” ujar Ryan meminta diri.

Wanita itu hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

Ryan berjalan sambil memimpin tangan Hakim. Hakim berjalan dengan gembiranya sambil melompat-lompat kecil. Gembira apabila Ryan yang menjemputnya pulang dari tadika.

“Jangan lompat, Hakim. Jatuh nanti,” ujar Ryan apabila beberapa kali Hakim menyepak batu-batu di kakinya. Bimbang pula si comel terjatuh.

Hakim melepaskan pegangannya sambil meluruskan kedua-dua belah tangannya kepada Ryan. Ketawa Ryan meletus melihat tingkah laku Hakim. Pipi Hakim dicubit perlahan.

“Oh.. anak Papa nak Papa dukung, eh?” soal Ryan.

Hakim mengangguk laju.

Sekali lagi tawa Ryan pecah. Dengan berhati-hati, tubuh kecil Hakim diangkat.

“Papa, jalan macam ultraman! Nak naik ultraman!” ujar Hakim teruja.

“Takkanlah Papa nak buat dekat sini. Malulah Papa.”

Hakim sudah menarik muncung itik. Ryan ketawa besar sebelum meluruskan tangan kanannya ke hadapan sambil berlari mendekati kereta. Hakim ketawa suka apabila dapat menaiki ‘ultraman’ yang dimahukan. Segan pula Ryan apabila kelihatan dua orang gadis yang berada di dalam tadika sedang ketawa melihatnya. Demi anaknya yang seorang itu, dia sanggup melakukan apa sahaja! Asalkan anaknya gembira.

Adakalanya sukar menjadi seorang bapa bagi Ryan. Dia harus menguruskan keperluan anaknya sebelum ke tempat kerja. Mujurlah dia tinggal bersama keluarga. Ringanlah sedikit bebannya. Namun, ada kelebihannya menjadi seorang bapa di usia muda begini. Lebih senang untuk dia meluangkan masa dengan Hakim memandangkan dia juga masih muda. Dia boleh bermain dan bergurau dengan Hakim. Anaknya itu baru sahaja berusia empat tahun, namun Hakim sungguh bijak.

Akhirnya, BMW X8nya mula bergerak meninggalkan kawasan tadika dengan Hakim yang asyik bergerak ke tempat duduk depan dan belakang.




“BAIK Zara kerja dengan Uncle Zain. Bukannya apa. Since Uncle Zain tu uncle kita, lagi senang Zara nak dapat cuti. Tengoklah last year. Zara cuti dua hari je,” ujar Rasya, memberikan pendapatnya.

Zara menggaru kepala yang tidak gatal.

“Takkanlah Zara nak berhenti? Zara baru kerja dua tahun. Nak jugak cari pengalaman,” balas Zara.

“Betullah cakap Sya tu, Zara. Cubalah dulu. Who knows lagi best kerja dengan Uncle Zain?” sampuk Durrani.

Berat hati rasanya untuk Zara meninggalkan Electro Holdings. Rasanya seperti baru semalam dia menjejakkan kaki di syarikat itu.

“Biar Zara fikir dulu, ya?” putus Zara.

Memang hatinya berbelah bahagi saat ini. Dia ingin meneruskan kerjayanya di Electro Holdings, namun mungkin lebih senang untuk dia bekerja dengan Uncle Zain. Uncle Zain kenal keluarganya dengan rapat memandangkan dia merupakan abang kepada bapa mereka.

“Dah, dah. Sekarang jom makan dulu,” ajak Encik Jamaluddin apabila anak-anak gadisnya sudah selesai menghidang makan malam untuk mereka sekeluarga.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...