Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

22 Mac 2015

Hadirnya Cinta Terindah 3

HARI ini merupakan hari pertama Zarif ke kolej selepas sah bergelar pelajar di Kolej STAR itu. Dengan rasa berat hati yang bertimpa-timpa, Zarif bangun juga pagi itu untuk ke kuliah. Kuliah pertama hari ini jam sembilan pagi hingga sebelas pagi. Kuliah kedua pula jam empat hingga enam petang.

Pagi tadi, bising ibunya, berleter itu dan ini apabila anak bujangnya masih belum mahu bangun dari tidur. Sengaja Zarif ingin bangun lewat sedikit memandangkan kuliahnya tidaklah seawal jam lapan pagi. Disebabkan bebelan Puan Sri Aisyah yang seolah-olah tidak ingin berhenti, Zarif mengaku kalah. Awal-awal lagi dia sudah bangun, mandi dan makan. Jam lapan setengah pagi tadi barulah dia bergerak ke kolej memandangkan kolej dan rumahnya tidaklah terlalu jauh.

Zarif berjalan perlahan di jalan yang menghubungkan dewan-dewan kuliah di tingkat satu itu. Pening kepalanya mencari Dewan Kejuruteraan Elektrik 4. Zarif menghampiri seorang pelajar lelaki yang sedang berjalan melepasinya.

“Saya nak tanya, DKE 4 dekat mana ya?” tanya Zarif sambil menggaru-garu kepalanya.

Student baru ke?” tanya pelajar lelaki yang memakai kemeja T berkolar warna hitam itu.

Zarif hanya mengangguk, mengiakan pertanyaan pelajar itu.

“Kalau macam tu, ikutlah saya. Saya pun nak ke sana,” ujar pelajar itu.

Zarif tersengih. Langkah kaki pelajar itu diikutnya.

“Hafiz,” ujar Hafiz, memperkenalkan dirinya kepada Zarif apabila mereka sudah sampai di hadapan pintu Dewan Kejuruteraan Elektrik 4 itu.

Zarif menyambut huluran tangan Hafiz.

“Zarif.”

Hafiz mengangguk perlahan. Mereka sama-sama masuk ke dalam dewan kuliah yang besar itu. Zarif menoleh sekeliling sambil matanya menyorot di setiap ruang dalaman dewan itu. Hafiz yang berada di hadapan mengambil tempat duduk di bahagian tengah dewan.

Semua mata-mata di dalam dewan itu meneliti Zarif yang sedang berjalan melepasi mereka. Ada juga pelajar-pelajar perempuan yang mula mengeluarkan cermin dan bedak untuk menempek-nempek lagi bedak yang sudah sepuluh inci tebal. Zarif tidak peduli dengan mereka. Dia mengambil tempat di sebelah Hafiz.

“Dulu kau belajar dekat mana?” soal Hafiz. Dia sibuk mengeluarkan buku dari dalam beg sandangnya.

“Jepun,” balas Zarif sambil tersengih.

Hafiz menunjukkan riak kagum. Pasti Zarif bukan calang-calang orang. Jika begitu, bolehlah dia belajar dengan Zarif kelak.

Bilik yang tadinya sunyi sepi tiba-tiba bingit dek suara bunyi manusia-manusia di dalam bilik itu yang sedang ketawa terbahak-bahak. Zarif dan Hafiz memandang ke depan. Kelihatan seorang pelajar perempuan sedang berjalan masuk ke dalam dewan itu. Sama seperti semalam, pakaiannya masih lagi pelik. Gadis itu mengambil tempat di barisan ketiga dari depan, duduk sendirian.

“Siapa dia tu?” tanya Zarif.

“Itu? Zara Sofea Jamaluddin. Namanya cantik, tapi orangnya tak secantik nama. Kata oranglah,” jawab Hafiz. Pandangan matanya menyorot pada gadis yang sedang duduk jauh di hadapan mereka.

“Dia ambil kuliah ni jugak ke?” tanya Zarif kehairanan.

Hafiz menggeleng perlahan.

“Entahlah. Bila aku masuk je kelas ni, dia mesti ada. Aku tak tahulah. Dia tu baru je semester tiga. Dah masuk kelas ni. Hebat dia tu. Pandai,” ujar Hafiz.

Zarif mengangguk. Soalan yang ingin ditanya lagi mati begitu sahaja apabila seorang pelajar lelaki dari tempat duduk belakang bangun dari tempatnya dan duduk di sebelah Zara. Zara hanya diam berteleku di tempat duduknya. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah lelaki itu. Mungkin itu teman lelaki Zara Sofea, bisik hatinya. Tidak disangka Zara yang nampak nerd itu sudah punya teman lelaki.



SEPERTI biasa, Zara akan ke perpustakaan untuk mencari buku-buku sebagai rujukan. Buku-buku di rumahnya sudah banyak, tetapi masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya. Zara membawa buku-buku yang agak tebal itu ke meja yang masih kosong. Zara mengambil tempat. Pelajar-pelajar yang tadinya duduk di meja itu terus bangkit dan meninggalkan meja yang diduduki Zara. Zara hanya mengangkat bahu. Buku-buku yang ada di depan mata mula diselak satu persatu.

“Hai!”

Zara mencari siapa yang menegurnya. Kelihatan seorang pemuda berdiri di hadapannya. Dia seolah-olah kenal dengan manusia ini. Tetapi dia tidak pasti siapa.

Lelaki itu tersenyum dan menarik kerusi di hadapan Zara. Dia turut membuka buku, tetapi bukan buku yang berkaitan dengan pelajaran. Mungkin novel. Di kulit depan buku yang agak tebal itu, ada beberapa patah perkataan yang ditulis menggunakan bahasa Jepun. Zara kembali menatap buku di tangannya.

“Awak dah beli spec baru?”

Soalan yang meluncur keluar daripada mulut lelaki itu membuatkan Zara ternganga. Jadi.. dialah orangnya?

Zara menjeling geram. Dia tidak mahu bertentang mata dengan lelaki yang sedang duduk menghadapnya sekarang ini. Zara kembali meneliti buku-buku yang diambilnya sebentar tadi.

“Awak ni.. tak baik tau layan orang macam ni. Bila orang tanya, jawablah. Kesian saya, lama tunggu jawapan awak.”

Suara itu kembali mengganggu deria pendengaran Zara. Apa lagi mamat ni nak?

“Saya tengah sibuk. Jadi, apa kata kalau awak jangan ganggu saya. Library bukannya tempat untuk awak temu ramah orang. Library tempat membaca, mengulangkaji,” balas Zara sinis.

Entah mengapa, Zara terlalu malas untuk bertentang mata dengan Zarif yang tersenyum memandangnya.

Zarif mengukir senyum. Kata Hafiz, Zara merupakan pelajar yang terkenal di kolej itu memandangkan sikapnya yang pelik dan kera sumbang. Disebabkan itu, ramai pelajar yang tidak mahu berkawan dengan Zara. Jika ada sesiapa yang berkawan dengan Zara, pasti mereka akan dikutuk habis-habisan oleh pelajar lain. Bagi Zarif, gadis yang bernama Zara Sofea ini memang agak pelik. Tetapi, tidak salah jika dia ingin mencuba menjadi rakan Zara. Dia ingin sekali mendekati gadis yang sudah dilabel sebagai gadis pelik di kolej itu.

“Saya nak berkawan dengan awak,” ujar Zarif apabila kata-katanya langsung tidak disambut oleh Zara.

Zara yang sedang menulis pada buku notanya kaku buat sesaat. Dia kemudiannya menyambung kerjanya semula.

“Buat apa nak kawan dengan saya? Takkanlah awak tak pernah dengar cerita fasal saya?” soal Zara tanpa memandang ke arah Zarif.

Zarif masih lagi tersenyum.

“Pernah. Nama awak Nur Zara Sofea binti Jamaluddin. Awak tak ada kawan, sebab awak sangat pelik. Nama glamour awak Hannah Mentadak dan Clown. Awak pelajar bijak yang baru berada di semester ketiga. Awak suka pakai baju pelik-pelik.”

Jawapan Zarif membuatkan Zara tersenyum sinis. Begitu terukkah dirinya?

“Itu aje?” tanya Zara lagi.

Zarif mengangguk.

“Tapi awak tak pernah dengar ke fasal saya makan jantung orang hidup-hidup? Saya tangkap orang, lepas tu saya kurung dalam bilik bawah tanah dekat rumah saya. Lepas tu saya bunuh orang tu,” ujar Zara sambil menjegil-jegilkan biji matanya. Tangannya digawang-gawangkan ke udara sambil menggayakan seolah-olah dia sedang mencekik seseorang.

Zarif terkejut. Dia menelan air liur buat beberapa kali sebelum tersengih.

“Takkanlah. Betul ke awak buat semua tu?”

Zara ternganga. Dia kemudiannya menggeleng, disebabkan dia tidak mampu percaya dengan soalan yang baru sahaja didengarnya. Buku-buku di hadapannya dikemas semula. Moodnya untuk membaca sudah mati begitu sahaja disebabkan oleh kehadiran lelaki itu. Muka handsome, tapi tak reti nak bezakan antara yang betul atau tak, desis hati Zara. Dia kemudiannya bingkas bangun dan meninggalkan Zarif sendirian.

Zarif bersandar pada kerusi. Langkah Zara hanya dihantar dengan pandangan matanya sahaja. Benar kata Hafiz. Bukan mudah untuk mengajak gadis pelik itu berbual. Mengapa agaknya Zara begitu sombong? Soalan itu terus berlegar-legar dalam kotak fikiran Zarif.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...