Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

29 Ogos 2013

Di Sampingmu [7]

ADELIA QAISARA menyandarkan tubuhnya ke sofa. Dia duduk di lantai. Ibu dan bapanya baru sahaja menelefon, memberitahu mereka sudah sampai di rumah. Barulah lega rasa hatinya. Rakan-rakan yang lain, masih tidur. Dia membuka laman sosialnya. Facebook.

“Eh! Adam Farhan upload gambar,” katanya sendirian. Dibawanya cursor ke arah gambar itu. Ada dua perempuan bersama dengannya dalam gambar itu. Adelia Qaisara mencebik. Internet lambat, getusnya.

Kepalanya diletakkan ke meja sementara menunggu gambar itu menjadi semakin clear. Apabila mengangkat kepala, terkejut beruk dirasakannya. Caption pun bukan main. ‘Me, Dhia and The Princess of Kitties’. Ramai yang menekan butang like dan menambah komen di bahagian bawah gambar itu. Macam-macam.

Ada yang bertanyakan siapa Princess of Kitties itu. Adakah teman wanita Adam Farhan? Atau pun hanya kawan? Public figure seperti Adam Farhan memang ramai peminat. Sudahlah kacak, bakatnya memang tiada tara. Tapi Adam Farhan ni dah ada kekasih ke? Atau pun tak ada? Maklumlah, orang gila kerja macam dia memang begitu. Dahulu, Adam Farhan merupakan model terkenal. Kini, dia sudah kurang melakukan aktiviti sebagai model memandangkan dia sibuk dengan kerjayanya. Cuma sesekali, dia bersetuju untuk menjadi duta iklan di papan-papan iklan dan majalah. Adelia Qaisara tidak mengambil tahu langsung tentang Adam Farhan. Yang dia tahu, Adam Farhan adalah anak kawan baik bapanya. Dia juga merupakan C.E.O. dan Pengurus Projek di syarikat Dato’ Hisyam. Itu sahaja.

Adelia Qaisara mengetuk-ngetuk dahinya dengan buku limanya. Matanya dipejamkan. Kenapa perlu memikirkan tentang jejaka itu? Siapa dia? Sejak bila aku jadi penyibuk ni? Adelia Qaisara membuka mata. Hampir terjerit dia melihat Annur yang berada di depan mukanya.

“Annur! Terkejut aku! Tampar kang nak?” marahnya sambil mengurut dada.

Annur duduk di sofa yang bertentangan dengan Adelia Qaisara. Terbahak-bahak dia ketawa sambil memegang perut.

“Kau gila ke? Dari tadi ketuk-ketuk kepala. Tak sakit ke?” Annur bertanya setelah tawanya reda.

“Tak ada apa-apalah. Saja nak ketuk kepala. Dah lama otak tak berjalan. Kau nak rasa?” dia ingin bangun, cepat-cepat Annur menahannya.

“Tak payah, tak payah. Kau tengok apa tu?” dia duduk di sebelah Adelia Qaisara. “Eh, siapa ni?”

“Anak kawan Abah aku. Ini Dhia. Dhia Syaqirah. Sedapkan nama dia? Ni abang dia, Muhammad Adam Farhan. Yang cantik, yang comel ni nama dia Adelia Qaisara,” balasnya tergelak.

“Perasan je lebih budak Adelia Qaisara ni. Eh, handsomenya. Lawa adik dia. Nama pun sedap,” puji Annur.

“Kacukan Korea – Melayu. Memang lawa pun. Mama dengan papa dia pun handsome, lawa. Anak orang kaya pulak tu,” tokok Adelia Qaisara.

“Kau pun kaya jugak. Siapa yang Korea dari family dia?”

Satu persatu gambar Adam Farhan dibeleknya.

“Papa dia. Diorang pun fasih cakap Korea. Hari tu aku keluar dengan diorang, diorang bawak aku pergi makan makanan Korea. Best ada family campur-campur ni.”

Annur mengangguk. Matanya terhala pada gambar-gambar Adam Farhan yang gayanya tidak kurang seperti seorang model. Berbalik semula pada gambar Adelia Qaisara bersama dua beradik itu. Adelia Qaisara tidak sampai mencecah bahunya pun.

“Aku macam pernah tengok la muka dia,” kata Annur.

“Aku pun rasa macam tu. Tapi tak ingatlah dekat mana,” jawab Adelia Qaisara.

“Kau tak minat ke kat dia? Handsome habis. Dia baik tak?” tanya Annur lagi.

“Amboi.. berminat nampak! Dia tak banyak cakap pun dengan aku. Hari tu dia cakap dengan aku pun tanya pasal kucing. Adik dia yang nak kucing aku. Kesian kat Dhia. Aku bagilah,” tutur Adelia Qaisara. “Kau dah solat?” tanya Adelia Qaisara.

“Yelah! Lupa pulak aku. Aku naik dulu, solat. Kejap lagi kita turun, kita pergi beli makanan kat kedai depan tu. Hannah dengan Nadhira tidur lagi.”

Adelia Qaisara menghantar langkah kaki Annur dengan pandangan mata. Dia bangun, ingin bersiap.



SEMASA memesan makanan, mata mereka berdua jatuh pada lima orang manusia yang duduk di sebelah meja mereka.

“Hai Annur,” sapa salah seorang dari mereka. Adelia Qaisara hanya menerima jelingan tajam daripada orang itu.

“Syakilla. Makan kat sini jugak ke?” Annur cuba berbasa-basi. Adelia Qaisara langsung tidak peduli akan Syakilla dan rakan-rakannya. Ada satu panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

“Annur. Kejap. Ada call. Tunggu kejap, eh?” ujar Adelia Qaisara sambil menepuk bahu Annur perlahan.

Annur mengangguk. Adelia Qaisara bangun dan berjalan keluar daripada gerai itu.

“Assalamualaikum,” sapanya setelah menekan butang ‘answer’.

“Waalaikumussalam.”

Lelaki! Siapa?

“Ya. Cari siapa?” soalnya sopan.

“Ini.. hmm.. abang. Err.. I mean Adam Farhan. Abang Dhia,” jawab lelaki itu.

Adelia Qaisara terlopong. Nak apa pulak mamat ni? Tiba-tiba je call.

“Oh.. kenapa, eh? Tiba-tiba je call. Terkejut saya.”

Terdengar lelaki itu ketawa. Jantungnya seolah-olah ingin melompat keluar dari sangkarnya.

“Tak ada apa. Saja. Kucing awak tu. Tak makan. Kenapa, eh?”

Kenapa bukan Dhia yang menghubunginya?

“Yeke? Awak cuba bagi makan dalam kuantiti yang sikit. Nanti dia makanlah. Baru lagi agaknya.”

“Tuan dia dah makan?” soal Adam Farhan.

Adelia Qaisara tersengih-sengih.

“Tengah order makanan. Tapau je,” jawabnya.

Baru sahaja dia ingin meneruskan percakapan, bahunya ditepuk Annur. Adelia Qaisara mengangkat sebelah tangan, menunjukkan isyarat tunggu sekejap kepada Annur. Annur hanya mengangguk.

“Err.. saya nak balik dulu. Makanan dah siap beli. Thanks for calling,” katanya lagi.

“If so, I’ll call you next time. Take care. Don’t forget to save my number,” pesan Adam Farhan sebelum memutuskan talian.

Adelia Qaisara menggaru kepala. Nak save nama apa? Full name? Skema sangat tu. Dia berfikir-fikir sejenak. Dagunya digosok-gosok dengan hujung jari. Mister Korea. Save. Laju sahaja dia berjalan ke arah motosikalnya. Annur sudah setia menanti.

“Siapa call?” tanya Annur.

“Mr. Lee,” jawab Adelia Qaisara tergelak.

“Mister Lee mana pulak ni?” tanyanya hairan. Setahu dia, hanya pensyarah mereka sahaja yang bernama Lee.

“Muhammad Adam Farhan Lee bin Ahmad Hisyam Lee,” sebutnya sebiji-sebiji.

Annur ketawa.

“Cakaplah awal-awal mat Korea tu yang call. Apa dia nak?”

“Hari tu, adik dia mintak kucing kat aku. Tadi dia call, dia kata kucing tu tak nak makan. Tu yang dia call tu. Risau kucing tu mati agaknya,” jawab Adelia Qaisara. Dia menghidupkan enjin skuternya. Annur naik di bahagian belakang.

“Jangan-jangan tu alasan je kot. Entah-entah dia yang nak dengar suara kau. Dia cakaplah kucing tu sakit,” Annur cuba meneka.

“Jangan mengada-ngadalah. Tak ada maknanya. Dia tu bukanlah peramah sangat,” tukas Adelia Qaisara.

Motosikal itu mula bergerak meninggalkan kawasan kedai makan itu.



ADAM FARHAN tersenyum sendiri. Sorry, Adelia. Kucing awak sihat. Mula terbayang akan wajah gadis cantik itu. Dia sopan, lemah-lembut, menghormati orang tua, manis bertudung, comel dan pandai memasak. Mendengar suaranya sahaja, Adam Farhan merasakan kedamaian di sudut hatinya. Senyuman dan gelak tawa gadis itu sudah cukup membuatkan hatinya dilanda badai yang mengasyikkan. Inilah kali pertama dia merasakan perkara sebegitu semenjak cintanya ditolak oleh Diana.

Farah Diana dan Adelia Qaisara. Masing-masing mempunyai nama yang berbeza, namun memiliki aura yang lebih kurang sama. Adelia Qaisara bertudung dan dia juga pandai memasak. Suatu ketika dahulu, sewaktu sebaya dengan Adelia Qaisara, Diana masih belum tahu memasak. Katanya dia sudah ada pembantu rumah. Mengapa perlu bersusah payah memasak? Adam Farhan hanya mengiakan. Kedua-dua mereka juga berbeza sikap. Diana lebih suka keluar dengannya berdua dan tidak hairan jika kulit mereka bersentuhan. Lain pula dengan Adelia Qaisara. Sewaktu dia mengambil kucing dari tangan gadis itu, cepat-cepat gadis itu melarikan tangannya daripada pegangan Adam Farhan.

Adam Farhan masih tersenyum. Ya Allah, jika benar dia untukku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuanMU, bisik hatinya. Saat itu juga, lagu Permata Yang Dicari nyanyian DeHearty berkumandang dari corong radio. Seperti memahami apa yang sedang difikirkannya, pengacara saluran itu memainkan lagu itu. Dihayatinya bait-bait lirik lagu itu.

 
Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu


Saiful yang memperkenalkan dia dengan lagu ini. Dia tertarik dengan lirik lagu itu. Dia berasakan seolah-olah dia dan Adelia Qaisara yang berada dalam lagu tersebut. Dia meraup wajah, lalu bangun menutup radio. Dia berlalu ke bilik air, ingin menunaikan solat sunat hajat serta solat sunat istikharah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...