Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

27 Ogos 2013

Di Sampingmu [5]

“QAISARA, siaplah. Mak nak ke teratak ni. Kawan Abah dengan Mak nak datang hari ni,” tegur Puan Sri Fatimah.

“Siapa, Mak?” tanya Adelia Qaisara kembali. Majalah di tangan diletakkan ke meja.

“Kawan Abah dulu-dulu. Lama dah tak jumpa mereka sekeluarga,” jawab ibunya. Tudung yang tersarung di kepala dibetul-betulkan.

Adelia Qaisara menyisir-nyisir rambutnya yang sejengkal kurang daripada pinggang itu dengan jarinya.

“Abah mana?” tanya Adelia. Dia masih leka dengan rambutnya yang hitam berkilat.

“Lahh.. abah pergi meeting hari ni. Pelupa betul anak Mak ni,” ujar Puan Sri Fatimah dalam senyuman. “Pergi siap! Nanti Abah jumpa kat sana. Mak nak call Pak Hassan. Mintak dia jemput.”

“Eh, Mak ni! Biarlah Sara yang drive. Lama betul tak drive,” Adelia Qaisara mematikan langkah.

“Yelah, yelah. Cepat siap.”

Adelia Qaisara berlari menaiki anak tangga. Dia masuk ke bilik. Sehelai kemeja diambil dari dalam almari. Begitu juga dengan sehelai seluar dan selendang. Dia melangkah ke bilik air.

Setelah bersiap ala kadar, Adelia Qaisara turun ke tingkat bawah. Tali begnya diperbetulkan. Biar panjang mencecah pinggang. Biasalah, trend katanya.

“Jom, Mak!” kunci kereta Mecedes SUV miliknya diambil dari tempat simpanan kunci. Enjin kereta dihidupkan.


 
“HAN! Jomlah. Mak dengan adik dah siap ni. Jom, jom,” Datin Hafizah menarik lengan anak sulungnya.

Dalam rasa malas, digagahkan juga kakinya mengikut ibunya. Pada mulanya, dia tidak mahu mengikut ibu dan adiknya. Mendengarkan teratak itu milik Tan Sri Salleh dan Puan Sri Fatimah, akhirnya dia akur. Sewaktu kecil, dia sekeluarga sering berkunjung ke rumah Tan Sri Salleh. Sudah lama dia tidak bertemu dengan kawan baik bapanya itu.

Enjin kereta BMW M3 E92 Coupe berwarnah biru Interlagos yang sudah sedia dipanaskan mula bergerak meninggalkan kawasan banglo dua tingkat itu.

“Tak sabar rasanya nak jumpa keluarga Kak Imah. Apalah khabar diorang,” Datin Hafizah mula bersuara, setelah beberapa minit kereta anaknya menyusur jalan raya yang tidak begitu sesak.

“Mak Cik Imah ada anak. Kan Mama?” sambut Dhia Syaqirah dari tempat duduk belakang.

“Ada. Nama dia, Adelia Qaisara. Bukan anak kandung Mak Cik Imah pun. Cuma anak saudara Pak Cik Salleh je. Ibu dengan ayah dia meninggal dalam kemalangan,” jawab Datin Hafizah.

“Sedap nama dia. Cantik tak?” tanya Dhia lagi. Dia nampak berminat ingin tahu mengenai Adelia Qaisara.

“Lawalah agaknya. Mama pun tak pernah tengok. Ni yang nak tengok ni. Kalau lawa, baik budi, nak jugak Mama buat menantu,” dikerlingnya Adam Farhan yang senyap memandu.

“Alahh.. Mama ni. Kahwin, kahwin, kahwin. Han muda lagilah Mama,” Adam Farhan kelihatan tidak berpuas hati.

“Muda apanya? Mama dengan Ayah dapat Han masa sebaya dengan Han, tau tak? Tak habis-habis bagi alasan muda. Kita bukan makin muda, Han. Makin tua. Mama nak menimang cucu sebelum Mama tutup mata. Nak harap Dhia, dia baru habis SPM,” bebel ibunya.

“Mama, janganlah cakap macam tu. Belum ada yang berkenanlah, Ma. Kalau ada, dah lama Han mintak Mama hantar rombongan. Tengah mencarilah ni. Lagi pun, zaman dulu-dulu bolehlah kahwin awal,” sahut Adam Farhan. Ibunya tidak habis-habis membangkitkan soal kahwin. Naik sesak dadanya.

“Bagus kahwin awal. Apa salahnya kalau kahwin awal? Sebab itulah Mama nak carikan. Mama kenal dengan family Mak Cik Imah. Mama tahu, anak dia mesti baik,” tokok ibunya.

“Itu emak dia. Anak dia? Mama sendiri pun tak kenal dia. Tak pernah jumpa. Macam mana Mama boleh tahu?” keluh Adam Farhan.
 
“Instinct seorang ibu tu kuat, Han. Mama nak yang terbaik untuk Han. Dulu pun, lepas Mama kahwin dengan Papa Han baru Mama sambung belajar. Kalau Han nak Mama tunggu Diana, pinang dia, tak tahulah bila. Tak lalu Mama nak tunggu. Dah dekat enam tahun. Entah-entah dia dah ada boyfriend. Manalah tahu.”

Adam Farhan mengeluh buat kesekian kalinya.



KERETANYA diparkirkan di kawasan letak kereta yang masih kosong. Menurut ibunya, hari ini tidak akan ada ramai orang. Yang ada hanya keluarga Adelia Qaisara, keluarganya, pekerja-pekerja Teratak An-Nur. Mereka keluar dari kereta. Dari jauh lagi sudah kelihatan Dato’ Hisyam bersama dengan Puan Sri Fatimah dan Tan Sri Salleh. Mereka bertiga berjalan ke arah kerusi yang diduduki Dato’ Hisyam dan pasangan suami isteri itu.

“Assalamualaikum. Kak Imah!” sapa Datin Hafizah lalu mendakap tubuh Puan Sri Fatimah.

“Waalaikumussalam,” jawab Puan Sri Fatimah. “Lamanya tak jumpa Fiza. Sihat?” tanyanya senang. Dipeluknya tubuh Datin Hafizah erat.

“Sihat, alhamdulillah. Rindunya Fiza dengan akak. Haa.. ini anak-anak Fiza. Adam Farhan dengan Dhia Syaqirah. Panggil je Han dengan Dhia,” Datin Hafizah memperkenalkan mereka berdua kepada rakan baiknya itu.

“Dah besar dah anak-anak Fiza. Sekejap je masa berlalu. Masa dulu, sempat tengok Han je. Lepas tu langsung tak jumpa,” ujar Puan Sri Fatimah sambil tersenyum.

“Ha’ah, kak. Lama kita tak jumpa. Haa.. mana anak dara akak? Teringin betul nak jumpa dengan dia. Nak tengok. Boleh jugak buat bakal menantu nanti,” usik Datin Hafizah.

“Mama..” tegur Adam Farhan, kurang senang.

“Dia ada kat dalam. Tengah buat air,” balas Puan Sri Fatimah. Dia tersenyum-senyum. “Eh, duduklah,” pelawanya lagi.

Baru sahaja mereka melabuhkan punggung, seorang gadis datang menatang sebuah dulang berisi cawan dan jag.

“Ini ke anak akak?” tanya Datin Hafizah gembira. Tangannya memegang jari-jemari gadis itu. Gadis itu tidak bertudung, hanya mengenakan sehelai kemeja tanpa kolar dan baju itu menunjukkan lekuk-lekuk ditubuhnya. Sebahagian dadanya terdedah sewaktu dia menuangkan air ke dalam gelas. Adam Farhan menjeling ke arah lain.

“Eh.. bukan. Ana, panggil Kak Sara keluar,” kata Puan Sri Fatimah. Gadis itu mengangguk dan berlalu. “Itu anak pekerja akak. Anak akak ada kat dalam lagi,” tambah Puan Sri Fatimah tergelak.

“Excited sangat saya nak berjumpa dengan anak akak,” sahut Datin Hafizah gembira.

“Mak! Sara buat kek je. Tak tahulah tetamu suka ke tak,” sapa satu suara di saat mereka sedang duduk berbual sambil meneguk minuman.

Bagaikan terkena pukauan, masing-masing terdiam. Termasuklah Adam Farhan. Seorang gadis yang hanya mengenakan kemeja dan selendang menarik perhatian mereka. Dia memotong kek buatannya dan meletakkan potongan kek-kek itu ke dalam pinggan. Kulitnya putih bersih. Cuma ada sebiji jerawat yang tumbuh di bahagian kiri dagunya. Orangnya tidak terlalu tinggi. Bibirnya yang berwarna merah jambu sentiasa mengukir senyum ikhlas.

“Mak cik, saya Adelia Qaisara,” katanya setelah selesai memotong kek buatannya sendiri. Dia bersalaman dengan ahli keluarga Adam Farhan.

“Ini anak Akak? Amboi.. cantik betul. Bertuah Akak. Kek ni Qaisara sendiri yang buat?”
 
Adelia Qaisara tersipu-sipu. Segan dengan pujian yang diterima, dia mengangguk perlahan.

“Cantik. Pandai masak pulak tu. Anak Fiza ni, masak pun tak tahu,” adu Datin Hafizah.

“Takdelah Datin. Saya pun tengah belajar masak. Anak Datin muda lagi. Boleh belajar lagi. Saya belajar dengan emak saya,” jawabnya sopan.

“Panggil Mak Cik je. Tak payah berdatin-datin.”

Adelia Qaisara tersenyum. Semua mereka masuk ke dalam rumah tersebut, kecuali anak-anak mereka. Adelia Qaisara terlebih dahulu mengajak Dhia ke kawasan belakang Teratak An-Nur. Di bahagian belakang rumah itu ada sebuah gazebo yang menempatkan kucing-kucing jalanan. Setelah dijaga dengan rapi, kucing-kucing tersebut nampak bersih dan gemuk-gemuk semuanya.

“Comelnya! Akak tak jual ke?” tanya Dhia. Dia asyik dengan kucing-kucing yang pelbagai rupa itu dan warna itu.

“Apalah Dhia ni. Ada ke tanya macam tu,” entah sejak bila Adam Farhan sudah berada di situ, mereka langsung tidak sedar.

“Akak tak juallah. Kalau ada orang nak, akak bagi je,” jawab Adelia Qaisara.

“Kalau saya nak, boleh tak kalau awak bagi kat saya?” tiba-tiba sahaja Adam Farhan bertanya begitu.

“Ambil je. Sara pun tak selalu ada kat sini. Tak ada orang nak jaga. Kesian diorang,” ujarnya sambil meriba seekor kucing baka Scottish Fold berwarna hitam dan putih.

Adam Farhan mencari wajah gadis itu. Dari tadi dia asyik bermain dengan kucing yang sederhana besar itu.

“Kalau saya nak yang ada dekat tangan awak tu boleh?” tanyanya.

Adelia Qaisara terdiam. Terkejut dengan permintaan jejaka kacukan Korea itu. Fasih betul dia berbahasa Melayu. Agak-agak dia boleh cakap bahasa Korea tak? Adelia Qaisara meneka dalam hati.

“Yang ni? Yang ni favorite saya. Dari dia kecil saya dah bela dia.”

“Akak kata akak tak ada kat sini, kan? Akak pinjamkanlah pada Dhia. Nanti Dhia bagi balik bila akak dah balik sini. Nia pun geram tengok dia. Gemuk semacam je,” sampuk Dhia. Dia turut membelai bulu kucing itu.

“Betul Dhia nak jaga dia?” tanya Adelia Qaisara.

Dhia mengangguk penuh harapan.

“Okey, okey. Sebab Dhia kata nak jaga dia, Akak bagi. Jaga elok-elok, okey? Dhia pernah bela kucing?” soalnya lagi.

“Tak pernah,” jawab gadis itu, sambil memuncungkan bibirnya.

Adelia Qaisara tergelak.

“Senang je. Dhia bagi dia makan, mandikan dia, main dengan dia, nanti baru dia sayang Dhia. Kalau tak tahu, nanti Dhia call akak.”

Dhia pantas mengangguk. Dia tersengih-sengih. Kucing comel itu bertukar tangan. Adam Farhan hanya menjadi pemerhati. Senyum dan suara gadis itu seolah-olah milik seseorang yang dikenalinya. Tapi, siapa? Tiba-tiba, deringan telefon bimbit mematikan lamunannya.

“Yeobuseyo,” sapa Adam Farhan sebaik sahaja dia menjawab panggilan itu. Orang itu menghubungi dari Korea, dan sudah pasti dia menjawab dalam bahasa Korea. Dia meneruskan perbualan dalam bahasa Korea dengan pemanggil itu. Adelia Qaisara yang tidak memahami sepatah pun maksudnya kembali menghadap Dhia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...