Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

27 Ogos 2013

Di Sampingmu [1]

ADELIA QAISARA menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Habis berserabut rambutnya bertocang satu itu. Bibirnya terkumat-kamit, ikut menyanyi lagu Korea yang menyumbat telinga. Pen di tangan kanan diletakkan ke meja belajar. Dia menggeliat.

“Dhira! Penatlah,” rungutnya. Earphone ditanggalkan dari kedua-dua belah telinga.

Nadhira berpaling, melihat teman baiknya.

“Alaa.. sikit je lagi. Cepat siap, cepat la dapat rehat,” balas Nadhira, kembali menghadap kertas soalan Matematik Kejuruteraannya.

Adelia mengangguk. Dia juga kembali meneruskan tugasan yang diberikan oleh pensyarah mereka, Puan Haniza.

Adelia Qaisara. Seorang gadis yang cantik, secantik namanya. Dia memiliki kulit yang sederhana cerah. Bibirnya yang merah tidak pernah berhenti mengukir senyum buat setiap insan yang mendekatinya. Dalam cerianya, ada lirih yang hadir. Dalam tawanya, ada air mata yang singgah di tubir matanya. Sejak kecil, dia dijaga oleh Puan Sri Fatimah, yang lebih dikenali sebagai Ummi. Menurut Ummi, ibu dan bapanya meninggal dalam kemalangan. Semasa kemalangan itu, Adelia Qaisara masih berada dalam kandungan ibunya. Ibunya terpaksa dibedah demi menyelamatkan Adelia Qaisara. Sebelum ibunya meninggal, dia ada meminta Tan Sri Salleh untuk menjaga anaknya. Tan Sri Salleh adalah abang kepada arwah bapa Adelia Qaisara, iaitu Encik Aminuddin.

Apabila Ummi Fatimah dan Abah Salleh terkenangkan rasa simpati terhadap Adelia Qaisara, akhirnya mereka membuat keputusan untuk membina sebuah rumah kebajikan, yang diberi nama Teratak An-Nur. Kanak-kanak yang tidak mempunyai saudara-mara akan dijaga oleh Ummi dan Abah, bersama pekerja-pekerja mereka. Apabila kanak-kanak itu sudah dewasa, mereka boleh membuat pilihan untuk tinggal di Teratak An-Nur ataupun meninggalkan rumah itu. Walaupun begitu, had umur yang ditetapkan untuk tinggal di rumah itu sehingga usia mereka dua puluh satu tahun. Setelah itu, mereka harus bijak menyara diri sendiri.

Jika ada kelapangan, Adelia Qaisara akan mengikut Ummi ke Teratak An-Nur. Semua yang tinggal di rumah itu sangat mengenali Adelia Qaisara. Dia memiliki perwatakan yang sangat menarik. Dia seorang yang kelakar, ceria dan peramah. Walaupun usianya baru sahaja mencecah dua puluh tahun, dia sangat matang dalam melakukan sesuatu. Ummi dan Abahnya selalu berusaha memberikan segalanya buat Adelia Qaisara. Namun begitu, dia tetap menolak.

Dia meneruskan pelajaran dalam diploma Kejuruteraan Komputer di Politeknik Ungku Omar dan kini dia berada di semester ketiga. Tawaran universiti-universiti lain ditolak, memandangkan jarak yang jauh dan bidang yang ditawarkan bukan minatnya. Sejak kecil lagi dia sudah tahu akan hakikat yang dia bukan anak Ummi dan Abah, maka dia lebih suka bersederhana dalam dalam semua aspek. Di kampus, tiada sesiapa yang tahu bahawa dia merupakan anak angkat kepada orang kaya, melainkan Nadhira, Nurul Hannah dan Annur Aisyah. Mereka merupakan teman serumah, satu kelas dan merangkap kawan baik Adelia Qaisara.

“Dah siap!” sorak Adelia Qaisara gembira. Bekas pen dan pensel dikemaskan. Kertas-kertas kajang yang dipenuhi dengan formula dan jawapan untuk tugasannya disatukan, lalu dimasukkan ke dalam fail.

“Dah siap ke?” tanya Nadhira, tanpa menoleh ke arah teman kesayangannya itu.

“Dah,” balas Adelia Qaisara. Mejanya sudah siap dikemas. Jam di dinding dikerling. Sudah hampir jam lima setengah petang. “Eh, Dhira. Aku nak solat kejap. Lepas tu nak turun. Nak masak makan malam,” ujar Adelia Qaisara.

“Okey, okey. Nanti aku turun tolong kau masak,” jawab Nadhirah. Laju sahaja jari telunjuknya menekan kalkulator.

Adelia Qaisara mencapai sehelai tuala kecil dan berlalu turun ke tingkat bawah.



“ASSALAMUALAIKUM!” kedengaran deruman dari enjin Yamaha Nouvo dan suara dua orang perempuan yang memberi salam serentak. Suara mereka yang terkekek-kekek itu membuatkan Adelia Qaisara mengangkat kening kehairanan. Pintu pagar yang dikunci dengan mangga itu dibuka.

Annur dan Hannah masuk ke dalam rumah sambil menjinjing beberapa bungkusan plastik di tangan.

“Mana Dhira, Sara?” tanya Annur setelah meletakkan beg plastik ke meja. Topi keledar diletakkan di bahagian atas rak kasut.

“Tadi dia buat assignment. Now, tengah solat kot.”

Annur dan Hannah mengangguk. Adelia Qaisara melabukan punggung ke sofa yang sudah hampir usang. Matanya kembali dihalakan ke kaca televisyen. Hannah duduk di sebelah Adelia Qaisara.

“Eh, tadi kitorang terserempak dengan Zuhair la Sara,” Hannah mula bersuara.

Adelia Qaisara merengus geram tatkala terdengar nama Zuhair atau Zuhair Fitri disebut-sebut.

“Haa.. kenapa dengan dia?” soal Adelia Qaisara acuh tak acuh.

“Dia bagi ni kat kau,” Annur duduk di sebelah kiri Adelia Qaisara.

“Apa ni?” Adelia Qaisara mengerutkan dahi. Hampir bertaut keningnya.

“Kitorang pun tak tahu. Cuba kau bukak, tengok dalam dia,” gesa Hannah. Tudung bawal berwarna coklat yang melekat di kepala ditanggalkan, dicampakkan ke meja.

Dengan rasa berat hati, kotak empat segi yang berbalut dengan kertas pembalut biru muda itu dibuka perlahan. Ada kotak baldu di dalamnya. Apabila dibuka, terdapat sebentuk jam tangan berjenama Bonia di dalamnya. Adelia Qaisara mengeluh. Kotak itu kembali ditutupnya, lalu diletakkan ke meja.

“Tu la, Sara. Aku dengan Annur dah cakap, kau takkan accept. Dia paksa kitorang bagi jugak kat kau,” kata Hannah. Bibirnya dimuncung-muncungkan.

Adelia Qaisara tergelak.
 
“Aku rasa, dia tu psycho la Sara,” Annur pula yang bersuara. Dia bangun dan selendang hijaunya dicampakkan ke dalam bakul yang dipenuhi dengan baju-baju yang sudah dipakai. Melihatkan Annur yang berdiri dengan bakul itu, laju sahaja Hannah mencampakkan tudungnya kepada Annur. Annur bercekak pinggang, melihat Hannah. Hannah tersengih.

“Betullah, Sara. Dia memang gila. Gilakan kau,” tambah Annur, kembali duduk di sisi Adelia Qaisara.

Hannah yang mendengar hanya mengangguk.

“Takde maknanya. Malaslah aku nak fikir pasal dia,” ada keluhan berat yang mengiringi kata-kata Adelia Qaisara.

“Itulah. Dulu, bila kau sukakan dia, dia tak nak. Cakap kau terhegeh-hegeh kat dia. Habis dia canang kat orang, cakap kau jahat. Sekarang, siapa yang terhegeh-hegeh?” Hannah mula meluahkan rasa yang tersirat dalam hatinya.

Benar. Dulu, dia yang menyimpan perasaan terhadap Zuhair. Zuhair juga mengatakan dia sukakan Adelia Qaisara. Tetapi, apabila segalanya terbongkar di hadapan seluruh rakan-rakan sekelas mereka, Zuhair menuding jari pada Adelia Qaisara. Macam-macam dikatanya. Kononnya Adelia Qaisara yang menggodanya. Setiap hari Adelia Qaisara menghubunginya, setiap hari Adelia Qaisara cuba mendampinginya. Apabila dia tidak melayan kehendak Adelia Qaisara, Adelia Qaisara akan mengugut untuk membunuh diri. Logikkah begitu? Adelia Qaisara bukan begitu. Mendengarkan kata-kata Zuhair, hampir setiap hari Adelia Qaisara berendam air mata. Disebabkan peristiwa itu, wajah jernih itu sentiasa kelihatan keruh. Dia dibenci oleh rakan-rakan sekelas, terutamanya Syakilla, Maria dan Natasha. Dia kehilangan rakan-rakan lain. Yang ada cuma Hannah, Annur dan Nadhira.

Mereka bertiga yang ada di saat Adelia Qaisara kehilangan dahan untuk berpaut nekad untuk tidak membenarkan Zuhair mendekati Adelia Qaisara, apatah lagi menyakiti hatinya. Adelia Qaisara bersyukur kerana Allah telah menganugerahkan mereka bertiga sebagai sahabatnya. Segala susah payah mereka harungi bersama. Saban hari, hubungan rakan karib sudah bertukar seperti adik-beradik kandung. Berlapar bersama, menangis bersama. Disebabkan hal itu juga, Hannah yang sememangnya bijak dalam berpakaian mengubah Adelia Qaisara. Tetapi, tidaklah sehingga langsung tidak dikenali. Dia sudah pandai bersolek dan sudah bijak memilih pakaian yang sesuai. Tidak hairanlah mengapa Zuhair cuba merebut hatinya kembali.

“Ingat, Sara. Jangan bagi dia dekat dengan kau. Tak sanggup aku tengok kau menangis sebab lelaki yang tak tahu adab tu,” Annur juga merasakan perkara yang sama.

“Janganlah risau. Korang kan ada. Bodyguards aku,” balas Adelia Qaisara tergelak.

“Banyaklah kau punya bodyguard. Bayarlah!” Hannah memukul Adelia Qaisara dengan kusyen.

Adelia Qaisara tersengih-sengih. Lengan Hannah yang putih bersih dipukulnya. Mereka tergelak.

“Sara, tak masak ke?” tiba-tiba sahaja Nadhira menyampuk. Entah bila dia berada di situ, mereka pun tidak sedar. Dia duduk di kerusi yang masih kosong.

“Tak payah masaklah Dhira. Kitorang dah beli nasi dengan lauk,” sahut Annur.

“Bestnyaaaaa! Tak payah masak!” sorak Nadhira gembira.

Mereka sama-sama ketawa. Setiap hari, pasti akan ada tawa yang menghiasi rumah sewa itu. Mereka berempat memang rapat. Adelia Qaisara dan Annur berkongsi katil yang sama, manakala Hannah berkongsi dengan Nadhira. Begitu juga dengan pengangkutan ke kampus. Hannah akan menaiki skuter Nouvonya bersama dengan Nadhira, dan Adelia Qaisara akan membonceng Annur dengan Yamaha Egonya. Semua orang di kampus sedar akan kewujudan empat orang gadis yang sentiasa ceria itu. Bahkan ramai yang mencuba nasib untuk memenangi hati mereka. Tetapi, hanya Adelia Qaisara dan Nadhira sahaja yang masih belum berpunya.

Hannah sudah mempunyai tunang yang berusia dua tahun lebih tua daripadanya, iaitu Na’il Fadlin, dan Annur pula memiliki teman lelaki yang bernama Amin Irsyad, tua enam tahun daripadanya. Habis sahaja belajar, Annur dan Amin bercadang ingin berkahwin, mungkin dua atau tiga tahun setelah Annur menamatkan pengajian. Hannah dan Fadlin masih belum merancang apa-apa. Adelia Qaisara langsung tidak menghiraukan lelaki yang cuba mendekatinya. Begitu juga Nadhira.

“Haa.. tadi aku dengar korang gelak-gelak, kenapa?” tanya Adelia Qaisara, cuba memecahkan kesunyian yang baru tercipta.

Hannah dan Annur saling berpandangan. Ketawa mereka pecah.

“Si Annur ni tadi. Masa kitorang keluar je dari selekoh kat TC tu, ada pulak anjing kejar. Nasib baik aku dengan Annur dah naik motor. Gabra punya pasal, habis terjatuh kasut sebelah kiri Annur,” jawab Hannah setelah tawanya reda. TC merupakan singkatan bagi Taman Cempaka. Taman Cempaka adalah tempat dimana pelajar-pelajar yang belajar di kampus berdekatan ataupun dalam bandar Ipoh menyewa.

Mendengarkan jawapan Hannah, Adelia Qaisara dan Nadhira ketawa, membayangkan apa yang telah terjadi.

“Rugi korang tak ikut,” ujar Annur, masih ketawa.

“Aku nak naik, solat kejap. Lepas tu nak makan,” kata Hannah. Dia bangun menuju ke bilik air.

Yang lain hanya menghantar langkah kaki Hannah dengan pandangan mata sahaja.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...